This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek rumah Desa Indah terbengkalai
10/11/2008 Utusan Online Oleh HUSSAINI AMRAN

Sebahagian projek yang telah tiga tahun terbengkalai di Desa Indah, Lubuk Cina, Rembau, Negeri Sembilan.

REMBAU 9 Nov. - Pembeli 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah di Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju menyiapkan projek itu yang telah tiga tahun terbengkalai.

Seorang pembeli, Ibrahim Mahat, 38, berkata, projek perumahan itu sepatutnya siap pada November 2005, namun sehingga hari ini pembeli-pembeli hanya mampu menggigit jari kerana tidak dapat mendiami rumah milik sendiri.

Menurutnya, sebahagian besar pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah dan mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman perumahan antara RM200 hingga RM400 sebulan kepada pihak bank walaupun rumah tidak disiapkan.

''Pada masa ini, saya sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mertua kerana tidak mampu lagi menyewa rumah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tapak projek perumahan Desa Indah, Lubuk Cina dekat sini hari ini.

Ibrahim berkata, aduan berhubung projek perumahan berkenaan pernah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta Biro Pengaduan Awam (BPA) pada tahun 2006 dan 2007.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tidak kelihatan tanda-tanda pemaju akan menyambung semula pembinaan projek perumahan Desa Indah.

Justeru, Ibrahim berharap pihak-pihak berkenaan mengambil tindakan proaktif bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi olehnya dan pembeli-pembeli lain.

Menurut pembeli, Siti Ayub, 48, sebelum ini beliau pernah menghadapi masalah serupa di sebuah projek perumahan di Kuala Lumpur.

Katanya, projek perumahan yang terbengkalai itu berjaya dipulihkan dan beliau melihat agensi-agensi kerajaan terbabit serta pemaju memberi komitmen tinggi dalam menyelesaikan masalah itu.

''Namun lain pula halnya di sini. Nasib kami seolah-olah tidak dipedulikan dan lebih malang lagi, sejak tahun 2006 saya dikehendaki membayar cukai tanah untuk rumah yang tidak siap," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini agar pembeli tidak teraniaya.

Seorang pembeli lain, Anas Haiza Hamid, 28, memberitahu, sebanyak RM6,000 wang pendahuluan dibayar kepada pemaju untuk pembelian rumah kos rendah di projek perumahan tersebut.

Beliau berkata, jumlah itu agak besar kepadanya yang bekerja di sebuah kilang dekat Alor Gajah, Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

''Saya mengambil masa bertahun-tahun kumpulkan duit sebanyak RM6,000. Sudah tentu saya marah dan kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak pemaju," katanya.

Sementara itu pembeli, Mohd. Afandi Omar, 31, berkata, pemaju pernah berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli berhubung status projek perumahan Desa Indah.

''Namun sehingga hari ini, janji hanya tinggal janji. Pemaju seperti ingin mempermain-mainkan kami," ujarnya.

Mohd. Afandi yang tinggal berhampiran dengan kawasan projek perumahan itu berkata, rumah-rumah yang terbengkalai itu kini menjadi tempat nyamuk membiak selain sarang penagih dadah dan lain-lain aktiviti tidak bermoral.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.