This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kerajaan negeri ambil alih projek Pulau Melaka

13/11/2008 Utusan Online


MELAKA 12 Nov. - Kerajaan negeri kini mengambil alih keseluruhan projek pembangunan di Pulau Melaka, Bandar Hilir di sini selepas pemilikan tanah projek terbengkalai sejak sekian lama dilupuskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan pengambilan projek tersebut diputuskan pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini dengan mengambil kira kepentingan 1,200 pembeli rumah dan premis perniagaan di pulau tersebut.

''Keputusan kerajaan melupuskan pemilikan tanah sebab pemajunya tidak menjelaskan cukai tanah yang tertunggak sejak sekian lama. Kita akan bincang dengan pembeli bagi memulihkan semula projek tersebut.

''Kerajaan membuat keputusan ini bagi menjaga kepentingan pembeli yang sudah sekian lama mengeluh dan kita tidak akan berpihak kepada pemaju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Projek Pulau Melaka yang menggunakan kaedah tebus guna tanah telah dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta sekitar tahun 2000 tetapi kemudiannya pemaju terbabit menghadapi masalah.

Ekoran itu, projek pembangunan di atas pulau buatan itu telah terbengkalai sejak tahun 2004, kecuali sebuah masjid yang dinamakan Masjid Selat Melaka yang kini telah digunakan.

Mohd. Ali berkata, satu perbincangan antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco Perumahan dan Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek, Datuk Bandar dan pejabat tanah dan galian serta para pembeli akan diadakan bulan depan.

Sementara itu, katanya, kawasan lapang yang ada di kawasan Pulau Melaka itu akan dijadikan kawasan rehat dan rekreasi di samping mewujudkan restoran serta kawasan letak bas-bas pelancong.

''Jumlah pelancong yang datang ke Pulau Melaka semakin meningkat. Selepas ini kita akan jadikan pulau tersebut satu tarikan baru," kata beliau.

Sehubungan itu, jelas Ketua Menteri, mulai 1 Disember ini semua urusan keluar masuk ke pulau tersebut akan diuruskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan bukan lagi pihak pemaju.

Jelas beliau, semua keperluan seperti pengawal keselamatan dan insurans juga akan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.