This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perumahan Kopetra terbengkalai

26/06/2008 Utusan Online


SIMPANG EMPAT 25 Jun - Isu rumah terbengkalai, kediaman tidak selesa dan masalah kekurangan kemudahan awam di perumahan kos rendah dan projek perumahan rakyat sering kali disiarkan di media massa.

Lebih memburukkan keadaan, pemaju sudah diisytiharkan bankrap manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) awal-awal lagi sudah memaklumkan ia di luar bidang kuasa mereka.

Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh 350 pembeli di projek perumahan Taman Pekatra Indah di sini yang diuruskan oleh pemaju Koperasi Pembangunan Kampung Tradisional Tasek Bhd. (Kopetra).

Pembeli yang ditemui meluahkan rasa kesal kerana rintihan mereka tidak didengari malah tidak dipedulikan langsung oleh pihak yang bertanggungjawab.

Seorang pembeli, Mohd. Isa Hashim, 50, berkata, projek yang dimulakan pada tahun 1996 sepatutnya siap pada tahun 2001 tetapi terbengkalai selepas 80 peratus daripada struktur rumah yang dibina siap.

Menurutnya, selepas puas berjumpa dengan pemaju beliau telah diberi pelbagai alasan termasuk perkhidmatan pengurus projek ketika itu, Multi Tracks Properties Sdn. Bhd. terpaksa ditamatkan kerana kerja-kerja tidak mengikut jadual.

"Saya serta pembeli lain telah membeli rumah tersebut pada harga RM71,000 dan sehingga kini banyak struktur asal rosak atau dicuri,"

"Disebabkan kegagalan pemaju juga saya terpaksa membayar ansuran kepada bank selain terpaksa mencari rumah lain untuk didiami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Mohd. Isa, pemaju telah melantik pengurus projek yang baru iaitu Elite Domain Sdn. Bhd bagi meneruskan projek-projek tersebut tetapi telah ditamatkan perkhidmatannya dengan alasan projek tersebut diambil alih semula oleh Kopetra.

Katanya, kebanyakan pembeli yang menubuhkan jawatankuasa bertindak gagal dihubungi ketika ini dan percaya kebanyakan mereka sudah putus asa dengan projek tersebut selain mungkin ada yang telah meninggal dunia.

Beliau memberitahu, pembeli ada membuat aduan kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd., agar mengambil alih projek tersebut tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana projek dijalankan oleh koperasi dan bukannya pemaju swasta.

Seorang lagi pembeli, Suria Sharif mengharapkan projek perumahan itu dapat diteruskan walaupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Bayangkan berapa lama kami perlu tunggu untuk duduk di rumah sendiri sedangkan rumah projek fasa pertama telah pun siap walaupun berdepan dengan masalah sijil menduduki (OC) pada awalnya," katanya.

Beliau memberitahu, projek fasa pertama pada mulanya berdepan dengan masalah OC tetapi pembeli dapat mendiami rumah mereka kerana kebetulan pada tahun 2004 adalah musim pilihan raya dan mendapat bantuan dari kerajaan negeri.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.