| 
     Ivory Properties bangun projek 
    terbengkalai di Tanjung Tokong 
    04/02/2008 Berita Harian 
     
    IVORY Properties Group akan membangunkan semula projek perumahan Fettes 
    Villa di Jalan Mount Erskine di Tanjung Tokong, Pulau Pinang yang 
    terbengkalai lebih 10 tahun lalu.  
     
    Pengarah Urusannya, Datuk Low Eng Hock, berkata proses pembangunan semula 
    itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun dan membabitkan kos sehingga 
    RM70 juta, tidak termasuk kos pembinaan.  
     
    "Kami dalam proses menyiapkan konsep projek terbabit dan kos pembinaannya 
    hanya diketahui selepas itu," katanya pada sidang media di Pulau Pinang.  
     
    Beliau berkata selepas majlis memeterai perjanjian membangunkan semula 
    projek itu antara anak syarikat Ivory Properties - Ivory Villas Sdn Bhd, 
    Malaysia Building Society Bhd (MBSB) sebagai pihak pembiaya projek dan 
    Gewaris Sdn Bhd, bekas pemaju prorjek perumahan terbabit.  
     
    Hadir sama, Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengarah Eksekutif 
    Ivory, Datuk Nazir Ariff Mushir Ariff; dan Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul 
    Hali Ali.  
     
    Fettes Villa dengan nilai pembangunan kasar RM247 juta, merangkumi tiga 
    menara yang setiap satu setinggi 38 tingkat, selain 30 lot komersial 
    dibangunkan di atas tanah seluas 5.4 hektar.   |