This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

2 projek rumah terbengkalai
14/08/2007 BH Oleh Amin Ridzuan Ishak

Selangor mahu ambil alih siapkan kediaman untuk program penempatan semula setinggan di Lembah Jaya, Hulu Klang

AMPANG: Dalam usaha mencapai status negeri maju, kerajaan negeri Selangor melancarkan program setinggan sifar bagi memastikan kehidupan rakyatnya selesa setaraf dengan statusnya.

Selain menyediakan kediaman selesa, program ini juga bagi mewujudkan kawasan perbandaran yang tersusun. Namun program yang diharap dapat membentuk negeri Selangor yang lebih baik mendapat bantahan daripada sesetengah penduduk.

Ini dapat disaksikan melalui beberapa bantahan atau kekecohan yang berlaku ketika operasi meroboh kediaman setinggan seperti yang terjadi di Kampung Berembang, Ampang dan Kampung Rimba Jaya Seksyen 6, Shah Alam.

Malah episod bantahan itu tidak habis di situ saja, malah sehingga ke mahkamah.

Bagi kawasan Ampang misalnya, bancian yang dilakukan mendapati kira-kira 5,000 penduduk masih mendiami kawasan setinggan dan usaha untuk mengurangkan seterusnya membasmi masalah itu sedang rancak dijalankan.

Bagaimanapun, dalam kerancakan kerajaan negeri mencapai sifar setinggan menjelang hujung tahun ini, tindakan pemaju yang lewat dalam menyiapkan kerja-kerja pembinaan menyebabkan usaha itu memindahkan penduduk bekas setinggan tergendala.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika membuat lawatan ke kawasan projek perumahan kos rendah bagi pemindahan setinggan di sini baru-baru ini, jelas kecewa dengan perkembangan itu dan mengumumkan kerajaan negeri akan mengambil alih projek berkenaan.

Projek terbabit ialah Projek Perumahan Kos Rendah Kuari Golden Plus, Lembah Jaya dan Projek Perumahan Kos Rendah Sungai Sering, Hulu Klang.

“Kita tidak berpuas hati dengan perkembangan projek ini dan mengambil keputusan untuk mengambil alih projek ini bagi mengelakkan ia tergendala lagi. Jika kita tidak mengambil tindakan ini, pemaju juga yang rugi kerana mereka yang harus membayar sewa rumah penduduk di penempatan sementara.

“Dalam situasi ini, boleh dikatakan semua pihak akan mendapat keuntungan yang mana penduduk terbabit akan mendapat rumah idaman mereka menjelang hujung tahun ini dan pemaju pula tidak perlu menanggung beban hutang tinggi,” katanya sewaktu mengadakan lawatan ke kedua-dua projek berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo.

Antara kedua-dua projek itu, projek di Sungai Sering yang dijangka menempatkan seramai 563 keluarga dari penempatan setinggan adalah yang terjejas teruk.

Projek yang sepatutnya siap tiga bulan lalu itu mengalami masalah apabila pangsapuri 16 tingkat berkenaan dibina di kawasan cerun yang berisiko berlakunya tanah runtuh dan banjir lumpur.

Bagi projek di Lembah Jaya, rumah kos rendah yang menempatkan 1,185 keluarga setinggan itu pula diambil alih kerajaan negeri selepas kegagalan kontraktor menyiapkan satu blok rumah daripada empat yang terkandung dalam perjanjian.

Ia sepatutnya siap Julai lalu tetapi disebabkan masalah kewangan yang melanda pemaju menyebabkan ia tidak dapat disiapkan.

Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan projek berkenaan, Dr Mohamad Khir, berkata projek bermasalah itu akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

FAKTA

Projek Perumahan Kos Rendah Sungai Sering, Hulu Klang
Pemindahan Setinggan

Kampung Kemensah (22 keluarga), Kampung Fajar (63), Kampung Bukit Permai (32), Kampung Sri Lembah Keramat (45), Kampung Batu Lapan (141), Kampung Selamat Tambahan (17), Lorong Enggang Selatan (36), Kampung Pinggiran Sungai AU3 (73), Kampung Pakat Setia, Lorong Enggang 23(65), Lorong Enggang 15(24), Kampung Pinggiran Ukay (2), Bersebelahan Kampung Pasir (12), Belakang Pejabat Penghulu (6), bersebelahan Lot 655 (7), Pintu masuk Klang Gate (4), Lot 818 (35) dan Taman Permata (1).

Projek Perumahan Kos Rendah Kuari Golden Plus, Lembah Jaya
Pemindahan Setinggan

Kampung Pinggir 1, Lembah Jaya Utara (220 keluarga), Bandar Baru Ampang (60) Lot 1, bersebelahan Taman Dagang (63), Kampung Asean (43), Kampung Berembang (bawah rezab TNB) (12), Lembah Jaya Selatan ( Jalan 10 ) (24) Kampung Berembang (315)

Kampung Muhibbah (12), Rumah Panjang, Taman Kosas (92), Kampung Kuala Ampang (131), Jalan Kolam Air Lama (37), Taman MBF, Hulu Klang (10) dan Kampung Fajar (15),

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.