This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

SPNB sasar pulih 13 projek terbengkalai
18/03/2006 BH

SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB) mensasarkan membaik pulih 13 projek perumahan terbengkalai bernilai RM196 juta di seluruh negara tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Amin Mohd Salleh, berkata SPNB juga akan menyerahkan sembilan projek perumahan yang dibaik pulih menjelang akhir tahun ini.

“Sejak tanggungjawab membaik pulih projek terbengkalai diberikan kepada SPNB, kami berjaya membaik pulih 53 projek perumahan terbengkalai, membabitkan 10,521 unit kediaman di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tapak projek perumahan kakitangan Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) di Sepait, Bintulu semalam.

Turut menyaksikan majlis penyerahan tapak projek perumahan oleh SPNB kepada BPSB yang diwakili Pengurus Kanan (Pengurusan Sumber Manusia) BPSP, Omar Salleh, ialah Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mohd Amin berkata, daripada jumlah berkenaan, SPNB terbabit sepenuhnya dalam kerja membaik pulih 11 projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,527 unit kediaman bernilai RM114 juta.

Bagi 42 projek perumahan yang lain, SPNB diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya memantau dan memberikan khidmat nasihat tanpa membabitkan sebarang bantuan kewangan.

“Kesemua 42 projek ini telah pun berjaya disiapkan kontraktor yang dipertanggungjawabkan dan telah menerima Sijil Layak Menduduki,” katanya.

Setakat ini, katanya, SPNB dalam proses membaik pulih 12 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara yang membabitkan 6,026 unit rumah dengan kos pembinaan RM207 juta.

Sejak SPNB dilantik sebagai Agensi Pelaksana Projek Pemulihan Perumahan Terbengkalai oleh Kementerian Kewangan pada 2001, SPNB telah dipertanggungjawabkan mengambil alih dan membaik pulih 177 buah projek yang membabitkan 52,271 unit kediaman dengan anggaran nilai projek RM4.3 bilion.

Mohd Amin berkata, SPNB giat membangunkan projek perumahan di bawah Skim Rumah Mampu Milik (RMM) yang akan membabitkan pembinaan 24,519 unit kediaman di seluruh Sarawak.

Katanya, disasarkan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, antara projek pertama yang akan dibangunkan oleh SPNB dalam tempoh masa terdekat ialah projek perumahan di Mukah dan Sourabaya, Kuching.

Pembangunan kedua-dua projek itu hasil perjanjian pembangunan yang telah dimeterai antara SPNB dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) tahun lalu.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan 261 unit rumah teres dua tingkat kos sederhana di Sourabaya dan 208 unit rumah teres setingkat kos rendah dan kos sederhana di Mukah dan dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.