This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai 3 tahun
 23/06/2005 Harian Metro

PETALING JAYA: Pembeli rumah di Bandar Alam Perdana, Bukit Cherakah, Kuala Selangor kesal kerana syarikat pemaju projek itu masih tidak dapat menyiapkan kediaman mereka walaupun ia dijadualkan siap tiga tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Alam Perdana, Mohd Jais Abdul Rashid, berkata impian pembeli unit kedai dan kediaman di projek berkenaan berkecai apabila rumah idaman tidak dapat diduduki pada tempoh dijadualkan sedangkan mereka terpaksa membayar ansuran bank.

Menurutnya, pada masa sama, pembeli menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran rumah yang dibeli di situ kepada
pihak bank.

Katanya, pembinaan projek perumahan itu yang dimulakan pada 2000, dihentikan dua tahun kemudian walaupun sudah 80 peratus disiapkan, dipercayai kerana masalah kewangan.

"Ketika membeli rumah itu pada 2000, kami dijanjikan pemaju bahawa projek perumahan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2003.

"Bagaimanapun, selepas tiba tarikh dijanjikan, kami gagal menduduki rumah itu berikutan projek berkenaan belum siap dan mereka mendakwa kelewatan itu disebabkan masalah kontraktor yang dilantik dan kewangan,"

katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak pemaju di sini, semalam.

Turut hadir, lebih 100 pembeli bagi menyerahkan memorandum menggesa pemaju menyambung semula pembinaan, di samping mendapatkan penjelasan kelewatan projek itu.

Sementara itu, wakil pemaju, Pengerusi Eksekutif Prime Utilities Sdn Bhd, Datuk Nik Ezar Nek Bolia, tidak menafikan projek perumahan itu terbengkalai kerana masalah kontraktor dan kewangan.

"Kami akan mengadakan sesi dialog dengan pembeli dalam tempoh sebulan lagi bagi menjelaskan masalah yang timbul sehingga menjejaskan pembinaan projek itu," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.