This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

3 tahun tunggu talian telefon
Berita Harian 3/2/2005

PETALING JAYA: Lebih 3,000 penduduk di rumah pangsa Petaling Utama Blok C dan D di Petaling Jaya Selatan (PJS) 1, di sini belum menerima kemudahan talian telefon dari Telekom Malaysia Berhad (Telekom) sejak mula mendiami perumahan itu kira-kira tiga tahun lalu.


Masalah tiada hubungan komunikasi seperti yang dialami mereka dianggap mustahil bagi penduduk di bandar besar seperti Petaling Jaya, tetapi realitinya masih ada kawasan di sini yang terputus hubungan dengan dunia
luar.
Tinjauan Sentral mendapati penduduk juga sukar berkomunikasi atau menghubungi seseorang memandangkan kemudahan telefon awam terletak jauh dari kawasan berkenaan dan persekitarannya yang sunyi berbahaya bagi wanita dan kanak-kanak.


Seorang penduduk, Ismail Abdul Aziz yang juga Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia (Era Consumer Malaysia), berkata beliau berkali-kali membuat aduan tetapi sehingga kini tiada jawapan diberikan.


"Selaku Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga di sini, saya sudah menghantar surat aduan kepada pemaju perumahan, Peter Brickworks, tetapi tiada sebarang tindakan.


"Menurut perjanjian jual beli dulu kami disediakan kemudahan asas dan prasarana yang lengkap, ini sudah kes tipu dan menganiaya kami.


"Saya menghantar surat aduan kepada Timbalan Menteri Penerangan; Datuk Donald Lim, Menteri Besar Selangor, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Telekom dan salinan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi tiada sebarang jawapan," katanya.


Ismail berkata, selepas sekian lama dan beberapa kali membuat rayuan, baru pekerja Telekom memasang wayar talian di kedua-dua blok tetapi sehingga hari ini tiada talian disambungkan.


"Wayar yang sudah lama terpasang itu, akhirnya dicuri penagih dadah yang merayau di kawasan ini.
"Saya kembali membuat aduan pada Telekom dan pihak pemaju tetapi setakat ini masih tiada sebarang jawapan," katanya.


Ismail berkata, beliau kecewa kerana tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa untuk menuntut hak mereka seperti yang termaktub di dalam surat perjanjian jual beli.


"Kami bukan orang berada, berpendapatan rendah dan ada penduduk ialah keluarga pemindahan setinggan.


"Kami tidak mampu untuk memakai telefon bimbit dan bayarannya mahal tetapi disebabkan keadaan yang terdesak kami perlu memakainya, itu pun dalam setiap keluarga hanya seorang memiliki telefon bimbit," katanya.


Ismail berkata, semua pihak yang dihubungi seperti melepaskan batuk di tangga dan menyalahkan pihak lain supaya mereka dapat lepas tangan.


"Kelmarin saya menghantar e-mel aduan masalah ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan berharap masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.


Tinjauan juga mendapati, projek pembelajaran komputer untuk penduduk tempatan iaitu Bridging Digital Devided-e-Upcom kerjasama Yayasan Strategik Sosial, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan, MPPJ dan Mimos Sdn Bhd yang menelan belanja berjuta ringgit tergendala kerana kemudahan internet tidak dapat disambungkan berikutan tiada talian telefon.


Pengurus Program Upcom, Arunagiri Subramian, 32, berkata projek ini untuk menaik taraf kemajuan sistem pendidikan dan meningkatkan pengetahuan celik komputer (IT) di kalangan penduduk khususnya kanak-kanak.


"Walaupun projek ini bermula sejak Ogos lalu, keperluan komputer masih tersimpan dalam stor kerana tidak dapat dipakai disebabkan tiada kemudahan internet.


"Kami sudah mempunyai 32 pelajar iaitu kanak-kanak, beberapa ibu bapa dan juga penduduk yang berminat untuk mempelajari komputer sejajar dengan seruan kerajaan supaya celik IT," katanya.


Dua daripada lima anak Ismail, Mohd Fahami, 11, dan Mohd Firdaus, 4, berkata mereka teringin belajar komputer dan internet seperti rakan di sekolah tetapi malangnya tidak mempunyai peluang itu.


"Saya dan adik (Firdaus) selalu melawat Up-com tetapi setiap kali datang, komputer masih disimpan dalam kotak, saya terpaksa pulang dan menunggu lagi," kata Fahami dengan nada kesal.
Pekerja swasta, Kenny Kam, 28, berkata selain masalah tiada talian


telefon ada beberapa masalah lagi yang menghantui penduduk iaitu kes curi, gaduh, penghuni sering terperangkap dalam lif dan penagih dadah yang merayau di kawasan ini.


"Dengan pelbagai masalah sosial seperti ini, talian telefon amat diperlukan, apatah lagi jika tiba waktu kecemasan seperti kematian, sakit dan sebagainya akan menyusahkan serta membahayakan penduduk," katanya.


Seorang lagi penduduk yang juga peniaga kedai runcit, Malar Koedi Sockiah, 34, berkata, hanya beliau seorang di kalangan keluarganya yang mempunyai telefon bimbit dan keadaan ini amat menyusahkannya setiap kali berlaku kecemasan seperti sakit dan kemalangan.


"Jika saya keluar rumah kami terputus hubungan. Sekiranya ada antara kami ditimpa kemalangan bagaimana kami hendak saling menghubungi.


"Keadaan ini menyusahkan saya lebih-lebih lagi sebagai peniaga runcit, saya banyak membuat panggilan untuk memesan stok dan sebagainya dan ada kalanya duit bil telefon bimbit saya mencecah ratusan ringgit sebulan, mana saya mampu," katanya.


Malar berkata, pada masa beliau dan keluarga mula berpindah ke rumah pangsa itu, beliau membeli sebuah komputer untuk kegunaan perniagaan dan keluarga, tetapi sehingga kini komputer itu masih disimpan di dalam kotak kerana tiada kemudahan internet.


Sehubungan itu, penduduk rumah pangsa ini berharap perkara ini dapat diselesaikan segera pihak yang bertanggungjawab kerana masalah ini amat menyusahkan mereka.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.