This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

47 pembeli rumah tergendala hilang sabar

Berita Harian 21/12/2005


AMPANG: Seramai 47 pembeli rumah di Taman Kencana Fasa 3, di sini terus menaruh harapan untuk menduduki rumah mereka yang terbengkalai walaupun dibeli lebih 10 tahun lalu.

Walaupun sudah ada syarikat pemaju lain bersetuju mengambil alih projek membina rumah teres dua tingkat itu selepas Syarikat Jaya Kencana Sdn Bhd muflis, ia masih berdepan masalah untuk dilaksanakan.

Projek perumahan yang dimulakan pada 1993 itu sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun, selepas pemaju muflis projek itu dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Pemegang Harta pada 2000.

Pembeli mendakwa jabatan berkenaan masih berdiam diri dan tiada sebarang maklum balas diberikan walaupun beberapa perjumpaan diadakan.

Husin Abdul Ghani yang mewakili pembeli berkata, mereka bersetuju membayar RM55,000 lagi kepada pemaju baru bagi membolehkan projek dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembeli tidak mahu menanggung kerugian lebih lama kerana terpaksa membayar pinjaman bank dan sewa rumah disebabkan kegagalan projek itu disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Sejak projek diambil alih Jabatan Pemegang Harta, belum sekali pun mereka memberi maklum balas berhubung masalah ini. Mereka memberi alasan Pegawai Penerima sering bertukar.

“Kami sedih dengan keadaan ini. Bukan itu saja, kami sanggup mengeluar wang bagi membolehkan projek yang hanya siap kira-kira 30 peratus disiapkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat.

Projek rumah teres dua tingkat itu dijual pada harga RM99,000 seunit untuk Bumiputera dan RM103,000 bukan Bumiputera. Kebanyakan pembeli menjelaskan antara 10 hingga 20 peratus wang pendahuluan kepada pemaju.

Setakat ini, bank berdepan dengan pinjaman tertunggak mencecah sehingga RM2.44 juta.

Berikutan itu, Ong berkata meminta Jabatan Pemegang Harta menyelesaikan masalah itu segera bagi membolehkan pemaju lain mengambil alih projek.

“Untuk menyiapkan projek ini perlu mendapat kelulusan Jabatan Pemegang Harta tetapi jika mereka berdiam diri susah untuk melaksanakannya,” katanya.

Tinjauan ke tapak projek berkenaan mendapati sebahagian kawasan hanya bermula setakat menanam cerucuk, manakala sebahagian lagi separuh siap.

Sebelum ini, dilaporkan Kerajaan Selangor mengenal pasti Taman Kencana Fasa 3 adalah antara 32 projek perumahan bernilai hampir RM2 bilion terbengkalai bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.