This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk tunggu 34 tahun belum dapat CF
Harian Metro 02/08/2004

KUALA LUMPUR: Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, dekat sini, yang belum mendapatkan sijil layak menduduki (CF) rumah yang mereka duduki sejak 34 tahun lalu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan geran tanah kekal.


Ketua Biro Perkhidmatan dan Hal Ehwal Awam MCA Bahagian Kepong, Yee Poh Ping, berkata walaupun permohonan hak milik tetap (geran) tanah mula dibuat sejak 1973, ia belum berhasil.


"Sudah 30 tahun kami memohon geran tanah tetapi tiada keputusan yang diterima sedangkan cukai pintu dibayar setiap enam bulan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Selepas sekian lama, kami berharap mendapat geran tanah kediaman memandangkan sebahagian penghuni Jinjang Selatan Tambahan sudah lanjut usia," katanya pada sidang media di Dewan Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan, di sini, semalam.


Hadir sama Bekas Presiden Parti Tindakan India Kebangsaan Malaysia (MIAC), A Ponnampalam; Pengerusi Persatuan Penghuni Jinjang Selatan Tambahan, Ong Pick Chew dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan, Karuppiah Palaniandy.


Sementara itu, Yee berkata penduduk Jinjang Selatan Tambahan meminta DBKL menghentikan segala perbincangan dengan pemaju dan tidak membiarkan kerja pembangunan dijalankan sewenang-wenangnya.


"Sekiranya kawasan ini dimajukan, bagaimana pula dengan kemudahan sedia ada seperti jalan raya, balai raya, lampu jalan dan tanda jalan yang disediakan kerajaan.


"Kami berharap permohonan mendapatkan surat hak milik tanah diteliti dan dipersetujui kerana tanpa geran tanah, keadaan rumah yang usang tidak dapat diperbaiki," katanya.


Tambahnya lagi, kawasan Jinjang Selatan Tambahan mempunyai ciri yang sama seperti status perumahan Kampung Baru yang terkandung dalam Pelan Struktur Draf Kuala Lumpur 2020.


"Kami bukan setinggan kerana ia taman tersusun setaraf dengan kampung baru di tempat lain," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.