This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

SPNB pulih 23 projek perumahan terbengkalai
08/06/2004 Berita Harian

SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) sudah berjaya memulih dan menyiapkan 23 projek perumahan terbengkalai sehingga 31 Mac lalu, kata Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain.

Beliau berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 172 projek perumahan terbengkalai yang sudah dikenal pasti untuk dipulihkan di seluruh negara sehingga 31 Januari lalu.

Keseluruhan projek itu yang dikenal pasti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan 47,724 unit rumah pelbagai jenis, bernilai kira-kira RM3.2 bilion.

Katanya, 19 projek lagi kini dalam pelaksanaan, kajian lanjutan (92) dan selebihnya (38 projek) dikenal pasti sebagai tidak boleh dipulihkan.

Mohd Zaihan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah projek perumahan terbengkalai Taman Seri Bayu yang berjaya dipulihkan, di Ampangan, Negeri Sembilan.

Majlis itu yang berlangsung di tapak projek berkenaan semalam, disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hamzah Ghazalli. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Program pemulihan projek rumah terbengkalai itu dibiayai dana daripada Tabung Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (TPPPT).

Mohd Zaihan berkata, kebanyakan projek perumahan terbengkalai itu berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat pemaju asalnya.

"Adalah menjadi tanggungjawab SPNB memulihkan projek terbabit demi kepentingan rakyat dan kita mendapat sokongan padu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakannya.

"Kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak terbabit membantu SPNB dalam melaksanakan tanggungjawab memulihkan projek berkenaan dengan berkesan," katanya.

Taman Seri Bayu membabitkan 127 unit pelbagai jenis rumah dengan 32 daripadanya kos sederhana rendah, 20 (sederhana) dan 75 (rendah) yang terbengkalai sejak 1997.

Mohd Zaihan berkata, SPNB tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada pembeli yang terbabit selepas projek perumahan itu berjaya disiapkan.

Sementara itu, katanya, rumah yang dibina oleh SPNB bagi kategori kos rendah, sederhana rendah dan sederhana adalah rumah kediaman tiga bilik dengan kemudahan dua bilik air.

Beliau berkata, kediaman bercirikan mesra keluarga dan selesa itu dijual pada kadar harga di bawah RM100,000 dengan keluasan lantai antara 650 hingga 850 kaki persegi.

"SPNB juga melaksanakan perumahan Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) khusus untuk keluarga miskin termasuk ibu tunggal yang tidak mempunyai rumah.

"Mereka yang mempunyai tanah juga boleh dipertimbangkan untuk menyertai skim ini dengan satu pertiga daripada kos pembinaan dibiayai melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan.

"Sementara itu, baki kos berkenaan boleh dibiayai dengan kaedah pembiayaan tanpa faedah yang berlandaskan konsep Al-Qardh," katanya.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.