This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Iktiraf pemaju baru Gombak Perdana Villa
Utusan Malaysia 24/11/2004

KUALA LUMPUR 23 Nov - Para pembeli pangsapuri Gombak Perdana Villa yang terbengkalai merayu kerajaan mengiktiraf pemaju baru yang mahu mengambil alih projek berkenaan.

Ia bagi membolehkan syarikat Projek Pertiwi Prestij Sdn. Bhd. meneruskan projek tersebut yang masih gagal disiapkan oleh pemaju asal sejak empat tahun lalu.

Sehubungan itu, mereka mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempercepatkan proses tersebut bagi memastikan pembeli rumah terbabit tidak teraniaya.

Jika diiktiraf, dipercayai, Gombak Perdana Villa me rupakan projek perumahan terbengkalai pertama diambil alih oleh pihak pemilik tanah di negara ini.

Seorang pembeli, Mohd. Shahripoddin Abd. Rahman, 47, berkata, Syarikat Perumaban Negara (SPN) telah bersetuju dengan proses penukaran pemaju yang menggabungkan pihak swasta dan pemilik tanah.

Beliau berkata, ia juga telah mendapat restu kerajaan negeri dan hampir semua pembeli rumah Gombak Perdana Villa.

"Langkah terbaru itu tidak membebankan kerajaan kerana jika dibuat melalui SPN, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan bagi meneruskan projek itu.

"Tetapi entah di mana silapnya, proses penukaran pemaju itu didapati tersangkut pula di peringkat kementerian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Gombak Perdana Villa mengandungi tiga blok 10 tingkat pangsapuri dan 222 unit rumah di kawasan seluas 1.737 hektar.

"Projek tersebut telah dimulakan pada 1997 tetapi terbengkalai sejak 2001 apabila pemaju asal mengalami masalah kewangan.

Setiap unit berharga antara RM150,000 hingga RM200,000 seunit.

Semasa pelancaran, sebanyak 116 unit telah dijual dan 28 unit diberikan kepada tuan tanah sebagai tukaran harga tanah dan 78 unit termasuk empat unit 'penthouse' dan rumah kedai masih belum dijual.

Ia sepatutnya dijadualkan siap se penuhnya pada hujung tahun lepas.

Pada Jun lalu, Jawatankuasa Bertindak Pembeli Gombak Perdana Villa telah menghantar surat berkenaan perkara itu kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan kementerian.

Tinjauan pula mendapati, tidak sampai 50 peratus daripada kerja-kerja pembinaan pangsapuri Gombak Perdana Villa berjaya disiapkan oleh pemaju asal.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd. Shahripoddin memberitahu, 75 peratus pembeli menyokong hasrat pemilik tanah untuk mengambil alih projek daripada pemaju lama.

"Apabila pemaju gagal menyiapkan projek mengikut perjanjian, pemilik tanah berhak mengambil alih kerja-kerja pembinaan daripada pemaju asal," katanya.

Sementara itu, pemilik tanah projek berkenaan, Shuib Mohd. Shariff, 50, berkata, terlalu banyak kemudahan belum sempat disiapkan oleh pemaju dulu termasuk infrastruktur seperti kolam renang, jalan masuk dan keadaan sekeliling.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa meinbelanjakan kira-kira RM300,000 bagi memperbaiki keadaan persekitaran pangsapuri tersebut.

Peruntukan tersebut juga digunakan untuk bayaran perkhidmatan guaman dan menyediakan pengawal keselamatan bagi mengelakkan kecurian di tapak berkenaan.

"Jika dilihat dari luar, pangsapuri ini kelihatan hampir siap tetapi jika masuk ke dalam masih banyak belum dibuat," katanya.

Seorang lagi pembeli, Yusri Zaidi Yahya, 36, pula berkata, hasratnya memiliki rumah sendiri hampa apabila projek berkenaan terbengkalai dan berharap kerajaan berbuat sesuatu mengenainya.

"Saya dan pembeli lain seakan-akan putus-asa kerana ia terbengkalai terlalu lama tetapi masih berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu yang terbaik untuk kami.

"Bayangkan, setiap bulan kena bayar sewa rumah tetapi dalam masa yang sama terpaksa membayar pinjaman kepada bank untuk rumah terbengkalai," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.