This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bank dibayar, banglo tak siap
11/12/2009 BERITA HARIAN Oleh Sufi Azahari

30 pembeli kediaman Taman Desa Sinar Salak jelas pinjaman hingga RM1,900 sebulan

SEPANG: Rumah tidak siap tetapi hutang bank kena bayar. Itu nasib pembeli 26 rumah berkembar dan empat banglo Taman Desa Sinar Salak, Salak Tinggi, dekat sini, yang terpaksa membayar pinjaman perumahan antara RM1,200 hingga RM1,900 sebulan sejak lebih tiga tahun lalu sedangkan kediaman dibeli tidak disiapkan.

Pembeli, Zaini Alim, 41, berkata beliau membeli sebuah banglo berharga RM250,000 di situ pada 2004 dengan niat mahu menggembirakan isterinya, Fatimah Shamsuddin, yang menghidap barah ketika itu.


Bagaimanapun, katanya, sehingga isterinya meninggal dunia pada 2007, kediaman itu masih tidak siap malah terpaksa membayar hutang RM1,900 sebulan.

"Saya juga terpaksa membayar sewa rumah RM700 sebulan di Puchong sedangkan pemaju berjanji untuk menyiapkan rumah dua tahun selepas pembinaan (2006).

"Hati saya pilu mengenangkan rumah untuk dihadiahkan kepada arwah isteri belum disiapkan pemaju," katanya, yang juga seorang peniaga.

Beliau berkata, selain rumah yang tidak siap, kemudahan lain seperti longkang serta jalan masuk juga tidak disempurnakan.

Sentral difahamkan projek pembinaan rumah itu dimulakan pada 2004 dan sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun.

Wakil pembeli yang juga juruteknik pesawat, Rostan Sari, 32, berkata mereka amat kecewa apabila perbincangan dengan pemaju untuk menyelesaikan masalah itu tidak pernah berhasil.

Malah, katanya, puluhan surat dihantar kepada pemaju, bank dan pelbagai pihak lain dalam usaha menyelesaikan beban mereka itu tetapi masih tidak berhasil.

Beliau mendakwa pemaju memberi jaminan untuk menyiapkan projek berkenaan pada bulan ini, tetapi masih tidak nampak tanda ke arah itu.

"Sudah lima tahun kami bersabar dan menunggu untuk mendapatkan rumah yang dibeli, namun sehingga kini rumah tersebut masih belum siap.

"Pelbagai ikhtiar kami dilakukan termasuk menulis surat kepada pihak kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, dan pihak berkuasa tempatan, namun sehingga kini usaha itu masih lagi menemui jalan buntu," katanya kepada Sentral.

Pembeli turut membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, baru-baru ini berhubung perkara itu.

Pembeli lain, Abdul Rahim Basri, 30, berkata kegagalan pemaju menyiapkan projek itu menyusahkan pembeli.

Katanya, beliau terpaksa membayar RM1,200 sebulan kepada bank untuk pinjaman perumahan itu dan pada masa sama membayar RM500 untuk sewa rumahnya.

"Ada antara kami yang sudah tidak sanggup menanggung beban hutang kepada pihak bank dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ikatan Darma Bina Sdn Bhd, Norizam Yassin, ketika dihubungi memberi jaminan untuk menyambung pembinaan tidak lama lagi.

"Projek yang terhenti itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memang bertanggungjawab terhadap projek perumahan berkenaan dan tidak berniat untuk menganiaya pembeli.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.