This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

JMB tidak berfungsi
20/04/2009 Harian Metro Oleh Maiamalina Mohamed Amin

GOMBAK: Hampir 11 tahun menghuni Apartmen Idaman Suria, Medan Idaman di sini bukan keselesaan diperoleh penduduk, sebaliknya himpunan masalah bermula dengan penyelenggaraan tidak teratur hingga berkait soal keselamatan.

Lebih malang, bebanan dihadapi penghuni apartmen 15 tingkat itu bukan saja tidak mendapat perhatian wajar syarikat pengurusan bangunan, malah Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dibangunkan Ogos tahun lalu turut gagal berfungsi.

JMB dilantik dengan persetujuan pembeli bangunan bertingkat dan pemaju mempunyai bidang kuasa tertentu menguruskan bangunan seperti termaktub mengikut Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan) 2007 atau Akta 663.

Penduduk, Ahmad Zaki Mohamad Yusop, 41, berkata dia kecewa kerana JMB gagal memperjuangkan keselesaan penghuni apartmen itu walhal tugas mengurus dan menyelenggara bangunan tanggungjawab mereka.

“Saya memiliki seunit rumah di tingkat 14 dan setiap bulan tidak pernah gagal membayar wang penyelenggaraan RM70.

“Saya kecewa kerana siling rumah dimasuki air, masalah anai-anai, lif dan jenayah curi serta ragut,” katanya pada majlis dialog penduduk bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, semalam.

Stanley Tan, 57, yang memiliki seunit rumah di apartmen itu, berkata masalah JMB berpunca daripada sikap penghuni sendiri yang kurang kerjasama selain gagal membentuk jawatankuasa mengurus dengan baik kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan.

Katanya, syarat membentuk JMB iaitu semua ahli jawatankuasanya bersih daripada tunggakan yuran penyelenggaraan gagal dipatuhi apabila dua daripada sembilan anggota dilaporkan berhutang, manakala lima lagi meletak jawatan.

“Tinggal dua anggota masih sah, tapi JMB menjadi tidak efektif dan perlu diganti dengan badan pengurusan baru dan dalam tempoh sebulan ini sehingga Mei perlu dianjur mesyuarat luar biasa (EGM) untuk penentuan JMB baru.

Sementara itu, Yew berkata, penduduk 288 unit apartmen itu perlu bersatu hati serta bekerjasama dalam menguruskan bangunan kediaman mereka termasuk membayar yuran penyelenggaraan dan tunggakan secara bulanan untuk tujuan berkenaan.

Beliau juga menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan kakitangan tidak mencukupi untuk menguruskan kira-kira 5,000 blok flet, apartmen dan kondominium di ibu kota menyebabkan pihak berkuasa tempatan itu lambat bertindak terhadap sebarang aduan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.