This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

2,000 pengurus pangsapuri enggan tukar meter Syabas
01/04/2009 BH

Kaedah pukal jadi cagaran desak penghuni bayar kos selenggara

PUTRAJAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), mengesan lebih 2,000 pengurusan bangunan bertingkat terutama pemaju kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang enggan menukar kaedah pengagihan bekalan air daripada sistem meter pukal kepada akaun individu.

Pengurus Seksyen Migrasinya, Mohd Azmi Md Nasir, berkata kebanyakan mereka enggan berbuat demikian kerana berhasrat menggunakan isu bekalan air sebagai 'cagaran' bagi mendesak penduduk menjelaskan bayaran lain terutama penyelenggaraan bangunan.

Katanya, masalah itu menyebabkan hampir 500,000 penghuni kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa membayar tarif air lebih mahal berbanding pengguna domestik biasa.

"Justeru, kita amat menggalakkan permohonan daripada pihak pengurusan untuk menukar meter pukal kepada meter individu untuk menghentikan rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati kerana terpaksa menanggung risiko bekalan air dipotong, jika pihak pengurusan gagal menjelaskan bil.

"Syabas mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pengguna bagi membolehkan mereka yang tinggal di kondominium, pangsapuri serta rumah pangsa menikmati kadar tarif yang sama seperti kediaman domestik iaitu 58 sen bagi kegunaan air dari 0 hingga 20 meter padu berbanding RM1.38 dan 80 sen bagi semeter padu yang dikenakan sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas turun padang menyaksikan pembukaan kaunter pendaftaran dan pembayaran penukaran meter air pukal kepada meter individu di Pangsapuri Fasa 18R8, Presint 18 di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, sehingga kini Syabas sudah menerima permohonan migrasi daripada 651 pemegang meter pukal iaitu membabitkan 139,181 akaun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, daripada jumlah berkenaan hanya 146 permohonan membabitkan 31,518 akaun sudah diluluskan, manakala 62 permohonan merangkumi 11,846 akaun individu sudah diaktifkan meliputi kawasan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Sepang.

"Saya percaya masih ramai lagi penduduk yang belum memohon untuk program migrasi disebabkan kesukaran mendapatkan persetujuan daripada syarikat pengurusan bangunan terbabit.

"Berikutan itu, Syabas meminta kerajaan supaya menyemak semula Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA) 2006 bagi mewajibkan migrasi meter pukal ke meter individu kepada semua kediaman bertingkat untuk kemudahan penghuninya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.