This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek bermasalah Pulau Melaka akan diatasi
24/03/2009 www.utusan.com.my


MELAKA 23 Mac - Masalah projek perumahan dan pembangunan di Pulau Melaka yang terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka dapat diatasi apabila ia diambil alih oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, sebelum mengambil alih projek itu, kerajaan negeri perlu melalui pelbagai proses pengambilan daripada syarikat terdahulu.

Menurutnya, pelbagai prosedur perundangan dan perintah mahkamah perlu dipatuhi memandangkan ketika ini kes tersebut masih dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi Melaka.

''Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih projek tersebut kerana kita perlu meneliti aspek perundangan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya di sini baru-baru ini.

Projek perumahan dan pembangunan Pulau Melaka yang dilancarkan pada 1998 itu masih terbengkalai sejak empat tahun lalu melibatkan kira-kira 500 pembeli projek di situ.

Masalah itu bermula apabila pemaju asal menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga gagal menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual pada 2004.

Menurut Abdul Ghafaar, projek Pulau Melaka itu dibina di bawah projek syarikat swasta dan kerajaan negeri hanya meluluskan pelan pembangunan.

Katanya, proses mengambil alih projek berkenaan dijangka mengambil masa memandangkan kerajaan negeri perlu mengikut proses perundangan sebelum kerja lanjutan dapat dilaksanakan.

''Sebagai negeri yang pesat membangun, sektor perumahan khususnya projek terbengkalai sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri, seiring hasrat melihat setiap rakyat mempunyai kediaman selesa.

''Namun ini adalah projek swasta, jadi kita perlu meneliti aspek perundangan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan syarikat yang dilantik mahkamah iaitu Ferrier Hodgson MH Sdn. Bhd. bagi menyambung semula pembangunan projek tersebut sekiranya syarikat terbabit mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.