This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Peruntukan SPNB RM200 juta
17/03/2009 www.utusan.com.my Oleh YULPISMAN ASLI

KUANTAN 16 Mac - Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta di bawah Bajet Mini 2009 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini untuk membina lebih banyak Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh berkata, peruntukan tambahan itu bagi membantu pemilikan rumah di kalangan rakyat berpendapatan rendah di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini sambutan yang diberikan oleh orang ramai ke atas program RMR sangat menggalakkan.

"Setakat ini, di negeri Pahang sahaja, SPNB telah menerima 2,738 permohonan dan telah meluluskan sebanyak 1,047 permohonan dengan peruntukan sebanyak RM60.65 juta.

"SPNB juga sedang membina dan memproses perjanjian sebanyak 528 unit rumah dan telah menyerahkan 519 unit rumah di negeri Pahang," katanya ketika berucap di majlis penerangan dan menandatangani surat akujanji bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Sungai Karang Darat 1, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Kanan (Pelaksanaan Projek) SPNB, Datuk Shamshul Baharain Sulaiman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Menurut Mohd. Amin, projek Taman Sungai Karang Darat 1 membabitkan 128 unit rumah, merupakan projek perumahan terbengkalai ketiga di Pahang yang dibaikpulih oleh SPNB selepas Taman Rakyat Gambang dan Taman Datuk Abdul Rashid Salleh.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak tujuh projek melibatkan 2,565 unit rumah telah berjaya dipulihkan di negeri ini.

Bagi projek terbengkalai di seluruh negara pula, katanya, SPNB setakat ini syarikat itu telah berjaya membaikpulih 73 buah projek melibatkan 23,089 unit rumah.

"SPNB juga telah diarah untuk membuat kajian kemungkinan pemulihan terhadap 256 buah projek yang telah diserahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melibatkan 74,720 unit rumah," katanya.

Sementara itu, Shamshul Baharain berkata, SPNB menyasarkan untuk membina 2,000 unit rumah di bawah program RMR pada tahun ini dengan kos pembinaan setiap unit berjumlah RM65,000.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.