This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Lapan Projek Terbengkalai Dipulihkan Tahun Lepas
12/03/2009 Bernama

SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak lapan projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini dipulihkan dan siap pada tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengrusan Bangunan dan Setinggan Selangor Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata dua daripada projek itu ialah di Shah Alam, dua di Klang, satu di Hulu Langat, satu di Puchong, satu di Hulu Selangor dan satu di Gombak.

Menjawab soalan lisan Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini berkata lima lagi projek terbengkalai dipulihkan, tiga daripada projek itu terletak di Hulu Langat, satu di Sepang dan satu di Ampang pada Khamis lepas.

Katanya pada tahun lepas terdapat 144 projek pembinaan yang terbengkalai, di mana 80 telah dikaji dan hanya 40 dikenalpasti sebagai berpotensi untuk dipulihkan.

Selain itu, Iskandar juga berkata laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan memuatkan status projek terbengkalai di negeri ini bagi membantu pembeli mengetahui tentang tahap kemajuan pembinaan rumah mereka dan untuk pemaju yang berminat memulihkan projek yang bermasalah pada akhir bulan ini.

"Yang paling penting rakyat dapat mengetahui pemaju-pemaju yang gagal melaksanakan projek. Kita juga sedang dalam kajian untuk mempamerkan nama dan nombor-nombor kad pengenalan lembaga-lembaga pengarah mereka," katanya.

Iskandar juga berkata kerajaan negeri akan melantik pihak ketiga seperti firma guaman untuk menerima pembayaran tambahan daripada pembeli rumah bagi kes di mana pemaju meminta bayaran tambahan bagi menyiapkan rumah pembeli atas alasan kos pembinaan telah meningkat.

"Pihak ketiga ini akan menyalurkan dana ini kepada pemaju apabila ia diperlukan untuk pembinaan. Kerajaan juga akan melantik juruukur bahan untuk memastikan pembayaran tambahan yang diminta pemaju adalah wajar," katanya.

Beliau berkata perkara ini akan dilaksanakan memandangkan ada pembeli yang bersetuju membayar lebih kepada pemaju berikutan kenaikan bahan binaan jika ia berpatutan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama pembeli berkenaan kurang percaya kepada pemaju dan mereka bimbang jika bayaran dibuat tidak ada jaminan bahawa rumahnya akan disiapkan, katanya.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.