This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

20 tahun menanti rumah
12/03/2009 Utusan Online Oleh Nazmil Nasiruddin


SEBAHAGIAN pembeli melihat keadaan rumah mereka di Taman Lingkaran Nur, Kajang yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu UTUSAN/MOHD. SAIFUDIN RASHID

KAJANG 11 Mac - Masalah rumah terbengkalai adalah antara isu perumahan yang tidak pernah selesai.

Walaupun kerajaan menetapkan pelbagai syarat dan peraturan untuk membendung kejadian itu tetapi ia masih belum berkesan sepenuhnya dalam mengatasi masalah tersebut.

Antara punca utamanya ialah apabila sesebuah pemaju itu gagal meneruskan projek yang dilaksanakan, mereka mengambil jalan mudah dengan menutup syarikat atau mengisytiharkannya bankrap.

Walaupun sesebuah projek itu dilaksanakan oleh syarikat pemaju terkemuka tetapi menjadi amalan syarikat tersebut menubuhkan sebuah anak syarikat lain untuk setiap projek yang mereka laksanakan.

Dengan itu, mudah untuk mereka 'melepaskan' diri tanpa menjejaskan syarikat induk apabila sesebuah projek itu terbengkalai.

Namun, apa yang menyedihkan di sebalik setiap projek yang terbengkalai itu ialah bebannya ditanggung oleh pembeli.

Inilah yang dialami oleh baki pembeli rumah di Taman Lingkaran Nur di sini yang masih belum dapat disiapkan walaupun sudah menunggu sejak 20 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lingkaran Nur, Mohd. Norman Abd. Hadi berkata, pembeli kini keliru dengan status projek tersebut.

Katanya, projek yang bermula pada tahun 1989 itu sepatutnya telah lama siap tetapi apa yang berlaku ialah, walaupun projek itu sudah tiga kali bertukar pemaju, ia masih terbengkalai.

"Malah, papan tanda mengenai projek itu sudah tiada manakala jalan masuk ke tapak projek juga dihalang serta ditutup.

"Pada asalnya, seluruh kawasan perumahan ini dibina pada waktu yang sama tetapi kami hairan mengapa baki 39 unit ini tidak disiapkan serentak," katanya.

Beliau berasa simpati dengan nasib baki pembeli yang masih belum memperoleh rumah masing-masing.

Selain itu, katanya, penduduk mendapati terdapat kegiatan mengambil pasir di kawasan tapak projek tersebut yang tidak diketahui sama ada mendapat kebenaran atau tidak.

"Apabila ditanya kepada mereka yang menjalankan aktiviti tersebut, jawapan mereka adalah untuk menstabilkan tanah pada tapak projek perumahan itu," katanya.

Namun, kata beliau, penduduk telah membuat aduan kepada Pejabat Tanah Hulu Langat kerana meragui tindakan pengambilan pasir tersebut.

"Mengapa tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pembeli tentang sebarang aktiviti yang ingin dilakukan tapak perumahan tersebut.

"Selain itu, kami dapati sebahagian rumah terbengkalai tersebut sudah dirobohkan untuk membolehkan lori masuk dan membawa keluar pasir dari situ," ujarnya.

Seorang pembeli rumah di situ, Mohd. Zailan Ayob, 48, berkata, sudah 20 tahun dia menunggu rumahnya disiapkan tetapi sampai sekarang dia hanya dapat melihat rumah yang terbengkalai sahaja di tapak projek itu.

"Inilah situasi malang yang terpaksa dihadapi oleh saki-baki pembeli rumah di Taman Lingkaran Nur ini," katanya yang hanya mampu melihat pembeli lain mendiami rumah mereka.

Katanya, dia berasa teraniaya kerana bukan sahaja gagal mendiami rumah sendiri tetapi juga disenarai hitam oleh bank kerana tidak menjelaskan pinjaman yang sudah dikeluarkan.

"Mengapa perlu saya bayar sedangkan rumah sudah lama terbiar sepi, tidak banyak perubahan yang dilakukan, malah makin terbiar," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tapak projek itu mendapati apa yang tinggal hanyalah sisa tinggalan bangunan yang belum siap.

Warna dinding rumah tinggalan itu sudah berlumut dan kehitam-hitaman yang menandakan ia sudah terbiar sejak sekian lama.

Menurut Zailan, ada di antara pembeli terpaksa menyewa atau membeli rumah lain kerana sudah tidak sanggup lagi menunggu.

"Saya sendiri sudah dapat banyak surat notis daripada peguam mengenai rumah yang terbengkalai.

"Selain itu, amaran rumah itu akan dilelong juga saya terima. Pada saya, kalau nak lelong pun, lelonglah... apa yang nak dilelong, saya pun tidak tahu," katanya.

Katanya, dia sudah banyak bergolok-bergadai untuk menanggung kos sejak projek itu bermula sehinggalah ia terbengkalai.

Dan yang paling dia tidak faham ialah mengapa ada rumah yang sudah siap dan ada pula yang terbengkalai sedangkan ia di bawah satu projek.

Malah, katanya, ada daripada pembeli rumah di situ telah meninggal dunia tanpa sempat melihat rumah mereka disiapkan.

Zailan menjelaskan, dia kini sedang cuba mengumpulkan para pembeli rumah yang terbengkalai itu untuk bersama-sama mengatasi masalah itu.

Dia berharap para pembeli yang senasib dengannya supaya menghubunginya supaya dapat diusahakan sesuatu sehingga rumah mereka yang terbengkalai itu dapat disiapkan.

Sementara itu, jurucakap Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberitahu, pihaknya telah membaik pulih sebanyak 253 unit rumah di Fasa 1A Taman Lingkaran Nur.

"Untuk Fasa 1B pula, SPNB telah pun menjalankan kajian kemungkinan dan kos, namun buat masa ini masih belum ada peruntukan untuk membaik pulih fasa tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.