This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pindah ke rumah bertingkat
27/01/2009 Utusan Online Oleh Siti Airunnisa Alaui


KAKITANGAN MPS mengangkat sumpah pada Perhimpunan Tahun Baru 2009 di Dataran MPS, Selayang baru-baru ini. - UTUSAN/HARUN OSMAN

SELAYANG 26 Jan. - Penduduk penempatan semula setinggan Bukit Botak diminta menerima cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan mereka di perumahan bertingkat bagi mempercepatkan masalah penempatan mereka diselesaikan.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Azim berkata, masalah yang telah berlarutan sejak sembilan tahun lalu itu gagal diselesaikan berikutan masih tiada jalan penyelesaian berikutan hasrat kerajaan negeri untuk menempatkan penduduk di Taman Selayang Mutiara tidak dapat dilakukan kerana projek perumahan kos rendah itu masih terbengkalai.

Katanya, pihak kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah berkenaan bagi mengurangkan bebanan penduduk berkenaan.

"Isu setinggan di Bukit Botak ini berbeza daripada isu-isu setinggan yang lain memandangkan ia melibatkan komuniti seramai hampir 2,000 orang serta melibatkan hak milik memandangkan mereka telah ditawarkan lot-lot rumah dan bukannya perumahan bertingkat seperti penduduk setinggan lain.

"Selain itu, masalah projek perumahan yang dijanjikan turut terbengkalai disebabkan masalah kos pembinaan yang meningkat serta masalah struktur muka bumi yang tidak sesuai.

"Oleh itu, saya amat berharap penduduk dapat mempertimbangkan penempatan perumahan bertingkat selain mengharapkan projek rumah kos rendah itu siap dibina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Tahun Baru MPS 2009 di Dataran MPS di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beliau memahami keadaan penduduk yang semakin tertekan dengan keadaan semasa namun, mereka dinasihatkan agar bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan tekanan yang mereka hadapi.

Jelasnya, kerajaan telah berusaha sedaya-upaya membantu untuk menempatkan mereka.

"Saya faham penduduk terpaksa berhadapan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila tidak mampu menjelaskan sewa rumah di penempatan sementara itu setelah PKNS menamatkan pembayaran sewa rumah tersebut.

"Namun, penduduk juga perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri dan PKNS untuk membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.

"Apa yang dimaklumkan, kerajaan negeri akan menyemak semula masalah penempatan penduduk tersebut dan diharap penduduk dapat bersabar," jelasnya.

Pada tahun 2001, hampir 2,000 penduduk terlibat dalam penyusunan semula penempatan setinggan Bukit Botak ke rumah kos rendah Taman Selayang Mutiara oleh kerajaan negeri Selangor.

Namun, setelah sembilan tahun berlalu, penduduk setinggan berkenaan masih belum memiliki rumah yang dijanjikan oleh PKNS, malah lebih teruk bayaran sewa penempatan sementara mereka serta kerja-kerja pembangunan rumah kos rendah yang dijanjikan sebelum ini diberhentikan.

Penduduk mendakwa, keadaan tersebut membebankan mereka dan mereka merayu agar PKNS mempercepatkan pembinaan rumah kos rendah yang dijanjikan.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.