This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk Bukit Botak tolak cadangan rumah bertingkat

30/01/2009 Utusan Online


SELAYANG 29 Jan. - Penduduk setinggan Bukit Botak dekat sini menolak cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan mereka di perumahan bertingkat sebagai jalan penyelesaian kepada isu penempatan mereka.

Malah, Setiausaha Jawatankuasa Penempatan Semula Setinggan Bukit Botak (JPSSBB), Fajwan Abdul Kadir, 52, menegaskan, isu rumah bertingkat tidak sepatutnya timbul.

Beliau berkata, ini kerana penduduk mempunyai geran tanah yang mengesahkan kawasan tersebut milik mereka, selain sudah dijanjikan rumah di kawasan tersebut.

Di samping itu, katanya, sebab lain yang membawa kepada penolakan cadangan tersebut ialah sebahagian daripada 84 buah rumah untuk penduduk Bukit Botak sudah siap pembinaannya.

Separuh daripada perumahan tersebut pula, jelas beliau, telah dipasang dengan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik manakala selebihnya masih dalam pembinaan.

"Kenapa pula kami mahu terima rumah bertingkat sedangkan ada di antara rumah-rumah yang dibina untuk penduduk telah siap pembinaannya.

"Penduduk juga telah membayar cukai tanah yang mereka miliki," katanya sambil menyatakan bahawa geran-geran tanah tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada September 1999.

Ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini hari ini, Fawjan mahu kerajaan negeri meneruskan projek perumahan itu berdasarkan keputusan yang dibuat sebelum ini demi memastikan penduduk setinggan Bukit Botak mendapat hak mereka.

Katanya, projek tersebut dijangka siap pada tahun ini yang membolehkan penduduk menetap di rumah yang dijanjikan itu.

"Bagaimanapun, penduduk terpaksa menunggu lebih lama kerana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) gagal menyiapkan rumah mengikut tempoh yang ditetapkan," tegasnya.

Beliau juga memberitahu bahawa PKNS sudah diberi peringatan supaya memikirkan dengan mendalam sebelum mengambil alih projek tersebut daripada pemaju yang terdahulu.

"Apabila mereka bersetuju untuk terlibat dalam projek setinggan Bukit Botak ini, bermakna mereka harus sedia menanggung semua risiko termasuk kerugian dan meneruskan semua yang dipersetujui," jelasnya.

Fajwan berkata, selain isu projek terbengkalai, penduduk juga tertekan apabila PKNS membuat keputusan menghentikan bayaran sewa subsidi sebanyak RM300 kepada penduduk bermula Oktober lalu.

"Pemberhentian bayaran subsidi sewa rumah ini menyusahkan lagi penduduk di sini terutamanya penduduk yang berpendapatan rendah,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap PKNS mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana bukan salah penduduk apabila rumah mereka gagal disiapkan mengikut jadual.

Dalam pada itu, Fajwan berkata, jika PKNS gagal menyelesaikan isu rumah terbengkalai itu, penduduk sanggup menyiapkan rumah mereka menggunakan duit sendiri asalkan kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Pada tahun 2001, hampir 2,000 penduduk terlibat dalam penyusunan semula penempatan setinggan Bukit Botak dan mereka ditempatkan di rumah kos rendah Taman Selayang Mutiara oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Namun, setelah lapan tahun berlalu, penduduk berkenaan masih belum memiliki rumah yang dijanjikan oleh PKNS, malah lebih teruk bayaran sewa penempatan sementara mereka serta kerja-kerja pembangunan rumah kos rendah yang dijanjikan sebelum ini dihentikan.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.