This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Masalah bangunan terbengkalai perlu diatasi
02/12/2008 Utusan Online

BAHAGIAN dalam bangunan terbiar dipenuhi sampah sarap dan dindingnya dipenuhi contengan.

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kebanyakan penduduk di sekitar kawasan Angsana Hilir di sini berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak pemaju asal projek perumahan kondominium di Taman Angsana Hilir, Ampang, untuk mengambil tindakan segera terhadap bangunan tersebut kerana ia sudah terlalu lama terbiar.

Hal ini kerana bangunan itu sudah terlalu lama terbiar sehingga melahirkan kebimbangan di kalangan masyarakat setempat yang tinggal berhampiran bangunan itu.

Pihak berkuasa seharusnya melakukan sesuatu dengan segera kerana bimbang perkara tidak diingini boleh berlaku kerana kawasan tersebut tidak dijaga dan memudahkan mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan sesuatu di sekitar bangunan itu.

Seorang penduduk, Azreel Feiza Zahari, 23, berkata, bangunan itu berpotensi untuk menjadi tempat kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah dan kediaman bagi kutu rayau yang tidak mempunyai rumah.

"Seingat saya, sejak dari zaman saya sekolah lagi bangunan itu telah terbengkalai dan sampai sekarang tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkuasa atau pun pihak pemaju.

"Apa yang merisaukan saya, kawasan berkenaan terlalu gelap pada waktu malam walaupun terdapat lampu jalan di situ tetapi ia berisiko tinggi untuk mengundang kejadian jenayah seperti ragut dan samun," katanya.

Seorang lagi penduduk, Syakir Mohammed Salleh, 23, menggesa pihak berkuasa atau pemaju terbabit untuk mengambil tindakan segera kerana bimbang kawasan tersebut akan menjadi tempat pembuangan sampah.

Katanya, di sekitar kawasan tersebut telah dijadikan tempat pembuangan sampah oleh sesetengah individu dan kegiatan itu akan memberikan impak yang negatif khususnya kepada alam sekitar kerana semakin hari sampah di situ semakin bertambah.

Sementara itu, orang ramai yang menggunakan laluan tersebut juga menyuarakan pendapat yang sama kerana kewujudan bangunan itu hanya mencemarkan pemandangan.

Seorang penduduk tempatan, Luqman Ab. Rahim, 23, yang berulang-alik melalui kawasan tersebut berkata, pihak berkuasa tempatan harus melakukan sesuatu dengan kadar segera kerana bangunan tersebut sudah terlalu lama terbengkalai.

"Di sekitar kawasan tersebut juga sudah tiada papan tanda pemaju yang mengendalikan projek perumahan itu dan ini membuktikan ia sudah lama terbiar," katanya.

Seorang lagi penduduk yang kerap melalui jalan itu, Mohammad Noor Mat Aroff, 22, berpendapat bangunan tersebut harus dirobohkan sahaja kerana bimbang ia akan dijadikan tempat untuk perkara tidak sihat.

"Perkara ini saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukannya, sekiranya hendak dirobohkan atau dikekalkan.

"Apa yang penting sekarang ini adalah tindakan segera harus diambil bagi membendung kegiatan yang tidak bermoral dan sekiranya dibiarkan begitu sahaja maka ia akan hanya mencacatkan pemandangan di pekan ini," jelasnya.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.