This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Syabas tidak boleh bantu

14/10/2008 Utusan Online


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak dapat memenuhi permintaan penduduk Saujana Putra Fasa 5A dan 5B di Kuala Langat supaya bekalan air secara tetap disambungkan ke kediaman mereka.

Ini kerana pihak pemaju projek itu masih belum menyempurnakan pembinaan sistem bekalan air untuk kawasan itu seperti yang ditetapkan oleh Syabas.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, pihak pemaju telah memulakan pembinaan sistem bekalan air tetap termasuk membina tangki air menara namun ia terbengkalai sejak tiga tahun lalu.

Justeru, kata beliau, penduduk perlu berurusan dengan pihak pemaju untuk mendapatkan penjelasan berhubung status sistem bekalan air di premis mereka.

"Hasil semakan Syabas, kawasan perumahan tersebut adalah di bawah pengurusan dan penyenggaraan pihak pemaju perumahan tersebut.

"Kita tidak dapat berbuat apa- apa selagi sistem bekalan air belum disempurnakan," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan rayuan penduduk di dua fasa Saujana Putra yang meminta Syabas mempertimbangkan dan memberi ihsan dengan membekalkan air ke rumah-rumah mereka.

Menurut penduduk, mereka sedar bahawa Syabas tidak dapat membekalkan air ke situ kerana pihak pemaju tidak memenuhi beberapa syarat termasuk menyiapkan tangki air menara, namun mereka mengharapkan ihsan Syabas dalam hal tersebut.

Penduduk berkata, mereka tidak tahu bila pihak pemaju akan dapat menyiapkan pembinaan tangki air itu dan perkembangan projek tersebut amat perlahan.

Mereka sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan bekalan air yang bertekanan rendah kerana ia mengganggu kelancaran kehidupan mereka.

Akibat ketiadaan bekalan air, sijil layak menduduki rumah-rumah di kedua-dua fasa berkenaan tidak dapat dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Abdul Halem berkata, walaupun memahami kesukaran yang ditanggung oleh penduduk tetapi pihaknya tidak mahu menanggung risiko dengan membekalkan air secara terus.

"Pihak pemaju perlu mematuhi prosedur dan syarat yang telah ditetapkan oleh Syabas bagi membolehkan pihak Syabas mengambil alih sistem bekalan air di kawasan tersebut.

"Justeru, Syabas menggesa pihak pemaju supaya mengambil tindakan segera iaitu menyediakan infrastruktur sistem pembekalan air agar penduduk dapat menikmati bekalan air yang lebih sempurna," katanya.

Beliau berkata, Syabas juga berharap semua pihak terutama pemaju perumahan agar memandang serius isu-isu penting penduduk terutama yang melibatkan keperluan harian seperti bekalan air.

"Ini kerana (masalah seperti itu) secara tidak langsung boleh menjejaskan nama baik Syabas sebagai sebuah syarikat yang membekalkan air kepada orang ramai," tegasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.