This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk mahu MPAJ bertindak segera

09/10/2008 Utusan Online


AMPANG 8 Okt. - Penduduk Taman Kencana yang ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini menggesa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membantu mereka mengatasi masalah yang timbul daripada sebuah projek terbengkalai di kawasan itu.

Kata mereka, masalah itu telah terlalu lama membelenggu kehidupan mereka.

Mereka ternyata kecewa dengan sikap tidak peka dan tidak prihatin pihak berkuasa tempatan itu terhadap masalah itu sehingga ia menjadi semakin teruk sekarang ini.

"Bukan baru sebulan dua masalah ini berlaku tetapi ia sudah berlarutan sejak hampir 10 tahun, namun tiada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa.

"Penduduk sudah membuat beberapa aduan kepada MPAJ untuk diambil tindakan tetapi tiada sebarang tindakan diambil setakat ini," dakwa mereka.

Seorang penduduk, Loo Swiee Ching, 50, yang sudah hampir 15 tahun menetap di taman itu, berkata, projek terbengkalai itu memang memberi masalah kepada penduduk yang berhampiran.

Katanya, sudah ia menjadikan pemandangan di kawasan buruk, projek itu juga menjadi punca kepada beberapa masalah lain.

"Saya dan keluarga sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk yang sekian lama mengganggu kami.

"Pada waktu malam, kami akan 'diserang' nyamuk walaupun sudah memasang ubat nyamuk. Saya tidak tahu lagi apa yang hendak dibuat,'' katanya di sini mengakui ada petugas MPAJ yang hanya melawat kawasan itu tanpa membuat tindakan.

Tambahnya lagi, keadaan rumah yang terbengkalai itu dan dipenuhi dengan pokok dan tumbuh yang tumbuh meliar dipercayai menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Dia menambah, ada juga penduduk di situ menghidap demam denggi.

Sehubungan itu, dia mencadangkan kepada MPAJ supaya meruntuhkan rumah yang terbengkalai itu atau mencari pemaju lain bagi membolehkan projek itu disiapkan.

Seorang lagi penduduk, Sheirly Eng, 70, berkata, kawasan itu bukan sahaja menjadi kawasan pembiakan nyamuk bahkan sudah menjadi tapak pembuangan sampah haram.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan itu kini berbau busuk sehingga mengganggu kehidupan penduduk.

Dia berkata, kontraktor pengutip sampah juga tidak akan membersihkan kawasan itu kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

"Tak kan penduduk di sini pula yang perlu membersihkannya kerana bukan kami yang membuang sampah di situ," katanya yang malu kerana saudara-maranya pernah bertanyakan mengapa kawasan rumahnya berbau busuk.

Sheirly menambah, projek yang terbengkalai itu juga harus mendapat perhatian segera daripada MPAJ supaya dapat dibersihkan.

"Semak dengan pokok yang semakin meninggi hari demi hari juga menimbulkan rasa takut di kalangan kami.

"Walaupun pihak MPAJ telah membina pagar daripada zink daripada dicerobohi tetapi kini pagar itu ada yang runtuh disebabkan dahan pokok yang semakin besar dan menolak pagar itu,'' katanya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, suaminya dan beberapa penduduk berhampiran pernah mengambil inisiatif membersihkan sebahagian kawasan itu untuk mengelakkan ia menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Namun, tambahnya, usaha tidak dapat bertahan lama kerana semak-samun dan pokok-pokok di situ cepat membesar dan mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk membersihkan kawasan itu dengan kerap.

"MPAJ sepatutnya perlu ambil tindakan dengan segera. Kami di sini sedia membantu," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.