This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Siasat kontraktor RMR - Noraini

29/09/2008 Utusan Malaysia


BATU PAHAT 28 Sept. - Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad menyarankan agar Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiasat secara terperinci setiap kontraktor yang diberi kepercayaan untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) agar tidak timbul masalah rumah terbengkalai.

Ini kerana, katanya, di Parit Sulong terdapat tidak kurang 10 aduan mengenai RMR dengan pelbagai masalah yang menyebabkan ia terbengkalai dan mendatangkan kemarahan kepada penerima skim RMR terbabit.

''Ia adalah untuk meringankan beban rakyat dan apabila ia terbengkalai hingga memakan masa bertahun akan menimbulkan rasa tidak puas hati sekali gus menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis sumbangan Hari Raya Aidilfitri Gerakan Daya Wawasan Kampung Separap anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Separap dekat sini hari ini.

Seramai 86 orang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU), fakir miskin dan anak yatim menerima sumbangan hari raya berupa beras serta keperluan harian.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, ada antara penerima terpaksa mengeluarkan modal yang banyak untuk membersih dan menambak tapak untuk membina RMR tetapi terbengkalai menyebabkan mereka mengalami kesusahan.

Tambahnya, terdapat juga penerima RMR yang masih menunggu bila rumah mereka akan dibina sedangkan tapak rumah telah lama disediakan dan sehingga kini masih tidak dibina lagi.

"Ada antara mereka yang benar-benar susah dan mengharapkan agar dapat rumah yang lebih sempurna terutama apabila menjelang hari raya tetapi hampa," katanya.

Noraini berkata, terdapat aduan di mana kontraktor yang sepatutnya menyiapkan rumah tersebut membuat kerja separuh jalan dan kemudian meninggalkan tapak berkenaan terbengkalai hingga penerima mengalami kerugian.

Katanya, masalah lain yang timbul ialah kesilapan atau tidak lengkap mengisi borang yang menyebabkan rumah berkenaan tidak dapat dibina mengikut jadual.

Bagaimanapun beliau berharap agar peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta oleh kerajaan untuk membina RMR mampu membuatkan para penerima berasa lapang dada dan RMR yang terbengkalai dapat disiapkan mengikut jadualnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.