This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penantian 20 tahun pembeli rumah murah berakhir
07/09/2008 Oleh Opat Rattanachot

SUNGAI PETANI 6 Sept. - Penantian lebih 500 pembeli rumah di Taman Seri Gedung di sini sejak 20 tahun lalu berakhir apabila projek rumah kos rendah yang terbengkalai itu berjaya disiapkan Ogos lalu dan diserahkan kepada mereka secara rasmi pada hari ini.

Seorang pembeli, Ahmad Daud, 53, melahirkan rasa syukur kerana penantiannya untuk mendiami rumah yang dibeli dengan hasil titik peluhnya tercapai.

Katanya, sebelum ini, para pembeli terpaksa menanggung beban membayar pinjaman kira-kira RM150 sebulan sedangkan rumah yang dijanjikan pemaju tidak dapat disempurnakan.

"Projek ini makan masa panjang dan pemaju pun sudah dua kali bertukar tangan.

"Akhirnya, atas keprihatinan kerajaan, projek perumahan yang dahulunya terbengkalai berjaya disiapkan juga oleh SPNB," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Ahmad yang merupakan bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, penyerahan rumah berkenaan disifatkannya amat bermakna lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Projek perumahan Taman Seri Gedung yang merangkumi 234 unit rumah kos rendah bersaiz 70 X 20 kaki persegi dan 362 unit bersaiz 60 X 20 kaki persegi dimulakan pada tahun 1987.

Rumah yang ketika itu dijual pada harga RM27,000 dan RM25,000 seunit gagal disiapkan pemaju ekoran krisis kewangan yang dihadapi sekitar tahun 1988.

Bagaimanapun, hasil campur tangan kerajaan, projek itu diserahkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada tahun 2003 untuk dipulihkan sehingga berjaya disiap dan dikeluarkan sijil layak menduduki (CF) oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada 13 Ogos lalu.

Majlis penyerahan kunci rumah kepada 598 pembeli berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohamed Taulan Rasul dan Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd. Amin Mohd. Salleh di Taman Seri Gedung, Mukim Ulu Pasir di sini.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Ibrahim Ali, 56, dari Seberang Prai berkata, dia membeli rumah terbabit dengan harga RM25,000 ketika berusia 36 tahun.

"Memang sebelum ini amat kecewa kerana rumah tak siap. Namun, impian saya memiliki rumah tercapai juga walaupun ambil masa yang lama," katanya yang sebelum ini menyewa rumah di Butterworth dengan harga RM260 sebulan.

Dalam pada itu, Mohd. Amin berkata, SPNB masih mencari pembeli rumah projek terbabit yang tidak dapat dihubungi atau meninggal dunia.

"Mereka boleh datang ke pejabat SPNB wilayah Utara di Tingkat 5, Wisma UMNO, Lorong Bagan Luar 2, Butterworth atau menelefon di talian 04-3304679," jelasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.