This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli rumah lega penantian 10 tahun berakhir

29/09/2008 Utusan Malaysia


MELAKA 29 Sept. - Penantian kira-kira 100 pembeli rumah di Taman Saujana, Bukit Katil di sini sejak 10 tahun lalu berakhir hari ini apabila projek perumahan mereka yang terbengkalai selama ini kini boleh diduduki.

Projek perumahan yang dibina di atas tanah seluas tujuh hektar itu melibatkan 108 unit rumah kos rendah, 33 unit rumah teres sederhana setingkat dan lima unit rumah kedai dua tingkat telah dimulakan sejak tahun 1997.

Bagaimanapun, akibat masalah kewangan yang dihadapi pemaju asal dan kegawatan ekonomi pada tahun 1998, projek perumahan tersebut terbengkalai sehingga ia dipulihkan semula oleh kerajaan negeri, awal tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembiayaan pemulihan projek perumahan itu dibuat melalui Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TPPT) yang ditubuhkan kerajaan negeri dengan dana permulaan sebanyak RM 1 juta.

''Projek Taman Saujana ini telah dipilih sebagai projek perintis bagi usaha kerajaan memulihkan sendiri projek terbengkalai dengan menggunakan dana tersebut.

''Kos pemulihan bagi projek ini sebanyak RM2.274 juta melibatkan bayaran kepada juruperunding, bayaran sumbangan kepada jabatan atau agensi teknikal serta kontraktor bagi kerja-kerja bangunan dan luaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci projek perumahan itu, di Bukit Katil di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Mohd. Ali hadir seketika untuk menyempurnakan majlis penyerahan kunci kepada 88 pembeli terbabit tetapi terpaksa meninggalkan majlis tersebut sejurus kemudian atas ketentuan lain.

Sementara itu, beliau mahu bakal penghuni Taman Saujana tersebut menjaga hubungan sesama mereka dengan menubuhkan persatuan penduduk bagi menjaga kepentingan bersama dari aspek sosial, keselamatan dan lain-lain.

''Faktor kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan juga perlu diberi perhatian oleh penduduk di taman ini agar dapat mewujudkan masyarakat yang sihat dan hidup dalam suasana harmoni," kata beliau.

Pada masa sama, beliau juga mahukan penduduk mengadakan gotong-royong serta mengindahkan kawasan taman perumahan mereka agar sedap mata memandang.

Katanya, jika hal tersebut diberi perhatian maka masalah penyakit seperti denggi dan malaria dapat dielakkan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.