This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mohon PDC selesai masalah
25/09/2008 Utusan Malaysia Oleh Wan Najib Wan Daud

BUKIT MERTAJAM 25 Sept. - Penduduk di Blok J Flat Taman Tenggiri Seberang Jaya di sini meminta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyelesaikan beberapa masalah termasuk penyelenggaraan yang didakwa tidak mengikut jadual di kediaman mereka.

Malah, mereka mahu PDC segera menangani masalah itu ekoran tiada sebarang tindakan diambil selepas beberapa kali aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan.

Penduduk juga mendakwa flat yang dibina PDC sejak 24 tahun lalu itu sudah tidak diselenggara dengan baik serta tidak diberi perhatian oleh pihak berkaitan.

Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk di dua buah blok itu ialah kerosakan sistem pengaliran air dan pelaras tangki air, kerja-kerja penyelenggaraan tidak mengikut jadual selain beberapa kes kecurian yang selalu berlaku sejak kebelakangan ini.

Seorang warga emas, Tan Thye San, 85, berkata, masalah sering berlaku terutamanya melibatkan kemudahan infrastruktur asas dan ia tidak diselenggara dengan betul walaupun aduan telah dibuat beberapa kali.

Katanya, laporan telah dibuat kepada PDC, namun ia tidak dilayan kerana mendakwa rumah tersebut telah diserahkan kepada penduduk.

"Tangki air sudah beberapa kali bocor akibat pelarasnya telah hilang dan bagi penduduk di tingkat atas mereka akan mengalami kesulitan tekanan bekalan air dan penduduk di bawah menghadapi air yang melimpah masuk ke dalam rumah,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau menambah, jika masalah itu dibiarkan berlarutan, keadaan akan menjadi semakin teruk dan penghuni yang terlibat terpaksa memperbaiki sendiri kerosakan itu.

Sementara itu, Elizabeth Samuel, 56, pula mengadu bahawa beberapa buah rumah kosong di flat itu menjadi sasaran pencuri yang mencuri besi-besi buruk.

Malah, katanya, beliau turut menjadi mangsa ragut tidak lama dulu dan sebuah kereta penghuni flat itu juga turut hilang.

"Beberapa buah motor juga turut hilang dan kami mahu pihak polis kerap mengadakan rondaan di kawasan ini,'' katanya.

Ujarnya, hampir setiap minggu ada sahaja kejadian kecurian motosikal berlaku di kawasan itu walaupun penghuni telah mengambil langkah berjaga-jaga dan memasang kunci tambahan.

Che Su Yunus, 61, berkata, kediaman mereka kini tidak lagi aman dan sering berlaku pelbagai perkara yang tidak diingini.

Katanya lagi, pelbagai perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan segera terpaksa menunggu lama untuk dipulihkan dan ia membabitkan kebajikan penduduk di sini.

"Kebelakangan ini kerap terjadi kerosakan dan kecurian, penduduk tidak mampu untuk bertahan jika ia selalu berlaku lebih-lebih lagi pemaju tidak mengendah apa yang kami bangkitkan,'' katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah berkata, beliau telah membawa perkara ini ke pengetahuan PDC tetapi mereka memberitahu, ia tanggungjawab Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Beliau memberitahu, PDC telah melepaskan tanggungjawab mereka kepada penghuni sedangkan mengikut prosedur untuk menyerahkan hak tanggungan, ia perlu diadakan satu mesyuarat membabitkan penghuni dan pemaju.

Namun, katanya, tiada satu mesyuarat diadakan untuk menyerahkan tanggungjawab rumah itu kepada penghuni sedangkan wang untuk kerja-kerja penyelenggaraan masih dipegang oleh PDC.

"Mereka (PDC) sepatutnya menyerahkan wang yang disimpan itu kepada penduduk bagi diwujudkan satu jawatankuasa penduduk dan mereka akan menguruskannya kelak,'' katanya lagi.

Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan menulis surat kepada MPSP dan PDC untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Arif Shah juga akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memohon bantuan polis bagi mengadakan rondaan sekerap yang boleh di kawasan tersebut.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.