This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mengharap ehsan Syabas

18/09/2008 Utusan Malaysia Oleh A. Jailani Abdullah

KUALA LANGAT 17 Sept. - Selepas sebulan berpuasa, hari raya tentunya merupakan hari yang paling gembira dan paling dinanti-nantikan oleh semua.

Namun, kegembiraan itu tidak dirasakan oleh penduduk Fasa 5A dan 5B Saujana Putra dekat sini yang masih tidak mempunyai bekalan air walaupun rumah mereka sudah boleh diduduki sejak sebulan yang lalu.

Fasa 5A yang merangkumi 127 buah rumah telah siap pada awal Ogos lalu, diikuti 110 buah rumah dalam fasa 5B yang kini berada di peringkat akhir kerja iaitu menurap jalan.

Namun, kata penduduk, rumah mereka masih tidak dibekalkan dengan air bersih dan berharap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dapat mempertimbangkan rayuan menyalurkan bekalan air ke kawasan itu dengan segera.

"Kecuali meter air Syabas, meter elektrik dan kabel telefon semua telah siap dipasang dan sedia untuk digunakan," kata kumpulan pembeli Saujana Putra Fasa 5A dan 5B sewaktu ditemui Utusan Malaysia di taman perumahan itu di sini.

Kata mereka, jika Syabas dapat menyalurkan bekalan air sementara dalam waktu terdekat, mereka amat berterima kasih kerana ia akan menjadikan hari raya kali ini lebih bermakna.

Bagaimanapun, jelas penduduk itu, bukan Aidilfitri yang menjadi keutamaan mereka tetapi jika bekalan air diperoleh dalam masa terdekat, ia bermakna Syabas telah membantu mereka mengurang kos sara hidup.

"Jika sudah ada air, kami sudah boleh berpindah masuk ke sini dengan segera dan itu bermakna kami tidak perlu lagi membayar sewa rumah dan pelbagai bayaran lain," kata mereka yang mengakui amat mengharapkan ehsan Syabas.

Mengikut jadual asal, kedua-dua fasa projek itu sepatutnya siap pada 2005 setelah pembinaannya dimulakan pada 2003.

Selepas tergendala akibat pihak pemaju mengalami masalah dan projek terhenti pada 2005, ia dipulihkan pada November tahun lalu dan siap baru-baru ini.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sementara Pembeli-pembeli Rumah Projek Perumahan Saujana Putra Fasa 5A, Mansor Ariffin berkata, hanya bekalan air menjadi masalah kepada pembeli rumah di situ.

Katanya, bagi fasa 5A, pihak pemaju berjanji untuk menyerahkan kunci kepada para pembeli pada bulan Ogos lalu tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan bekalan air menyebabkan sijil layak menduduki (CF) tidak dapat dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat.

"Kami dimaklumkan bahawa pihak pemaju dan pemilik tanah iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Syabas dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai isu ini.

"Namun, kami juga difahamkan bahawa pihak Syabas tidak boleh meluluskan perkhidmatan bekalan air sementara selagi tangki air utama tidak disiapkan pembinaannya," ujar beliau.

Beliau berkata, jika itulah syarat yang ditetapkan oleh Syabas, maka hasrat pembeli untuk menduduki rumah sendiri dalam masa terdekat tidak akan tercapai.

"Ini kerana tangki air itu sepatutnya disiapkan seiring dengan siapnya fasa 1 dan 3 yang terletak bersebelahan tetapi kedua-dua fasa itu kini tergendala. Fasa itu dibina oleh pemaju berlainan dengan fasa kami.

"Kami merayu budi bicara dan ehsan pihak Syabas supaya membekalkan air secara sementara kepada kami.

"Lagi pun, kami difahamkan bahawa projek perumahan di Bandar Saujana Puchong yang disiapkan jauh lebih awal telah mendapat bekalan air sementara. Jadi, kami harap Syabas memberikan ehsan yang sama kepada kami," ujarnya.

Naib Pengerusi jawatankuasa yang sama bagi Fasa 5B, Azhar Ahmad pula berkata, pembinaan tangki air utama itu telah mencapai tahap 70 peratus sebelum kerja-kerjanya tergendala.

"Tangki air itu dibina oleh kontraktor projek bersebelahan dengan perumahan kami ini yang kini terbengkalai dan kami tidak tahu bila ia akan dimulakan semula.

"Sudah terlalu lama kami berdepan dengan bebanan kewangan... bayaran sewa rumah, bayaran pinjaman perumahan dan berbagai lagi. Jika bekalan air dapat dimasukkan ke rumah kami, kami akan berasa cukup lega dan berterima kasih kepada Syabas.

"Kami dimaklumkan bahawa Syabas bimbang tekanan air di sini rendah jika tangki air itu tidak disiapkan tetapi penduduk di sini berjanji tidak akan merungut selagi tangki utama itu tiada," katanya disambut oleh sorak sebahagian pembeli-pembeli yang lain.

Katanya, apa yang penting, pembeli dapat tinggal di rumah sendiri kerana sudah tidak tahan menanggung kos sewa rumah yang tinggi.

Menurut mereka, kebanyakan pembeli rumah taman perumahan itu terdiri daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya dan majoritinya adalah orang Melayu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Jawatankuasa itu, Rozida M. Johan berkata, mereka telah menghantar surat rayuan yang disertakan tandatangan semua pembeli kepada pihak-pihak berkenaan untuk meminta masalah mereka itu diselesaikan.

"Kami harap, rayuan kami ini dipertimbangkan sebaik-baiknya. Kami harap Syabas bersimpati dan melupakan syarat yang ditetapkan demi rasa perikemanusiaan dan tanggungjawab sosial," rayunya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.