This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Langkah tangani rumah terbengkalai disusun

05/09/2008 Utusan Malaysia Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN 4 Sept. - Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah projek perumahan yang terbengkalai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Siow Chen Pin berkata, kerajaan negeri telah membuat siasatan dan lawatan ke projek terbabit dan menyenaraikannya bagi tujuan pemulihan.

''Selepas bancian dibuat, kerajaan akan mengemukakan cadangan pemulihan projek terbengkalai kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

''Pada masa yang sama juga, kerajaan negeri akan menawarkan cadangan pemulihan kepada pemaju lain yang berminat," kata beliau di sini hari ini.

Menurut Chen Pin, bagi memudahkan pihak pengguna mendapatkan maklum balas berkaitan projek perumahan mereka, kerajaan akan mengaturkan perbincangan tiga penjuru membabitkan pembeli, peguam dan pemaju.

''Kita percaya dengan kaedah ini, pembeli akan mendapat gambaran jelas berhubung kemajuan pembinaan rumah yang telah mereka beli dan sebab ia tertangguh.

"Kita mahu juga ketiga-tiga pihak ini menyelesaikan masalah projek serta pinjaman perumahan pembeli,'' tegas beliau.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga akan mencadangkan kepada pembeli supaya mereka boleh mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

''Kerajaan juga tidak akan melepaskan begitu sahaja masalah ini dan melalui pihak berkuasa tempatan, kita akan memantau secara dekat perkembangan dan kemajuan projek yang terbengkalai itu,'' ujar beliau.

Mengenai cukai taksiran bagi rumah yang terbengkalai, Chen Pin memberitahu kerajaan kini menimbangkan beberapa kaedah termasuk cadangan menghapuskan cukai berkenaan bagi rumah yang tidak diduduki akibat projek terbengkalai ini.

''Ini bertujuan meringankan beban pembeli yang terpaksa berhadapan pelbagai kemelut pinjaman, rumah tidak siap dan sebagainya.

''Bagaimanapun ia bukanlah keputusan menyeluruh tetapi hanya berdasarkan kes yang telah dikenal pasti sahaja," ujar beliau.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.