| 
     Perumahan Kopetra terbengkalai 
    26/06/2008 Utusan Online 
     
    SIMPANG EMPAT 25 Jun - Isu rumah terbengkalai, kediaman tidak selesa dan 
    masalah kekurangan kemudahan awam di perumahan kos rendah dan projek 
    perumahan rakyat sering kali disiarkan di media massa. 
     
    Lebih memburukkan keadaan, pemaju sudah diisytiharkan bankrap manakala pihak 
    berkuasa tempatan (PBT) awal-awal lagi sudah memaklumkan ia di luar bidang 
    kuasa mereka. 
     
    Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh 350 pembeli di projek 
    perumahan Taman Pekatra Indah di sini yang diuruskan oleh pemaju Koperasi 
    Pembangunan Kampung Tradisional Tasek Bhd. (Kopetra). 
     
    Pembeli yang ditemui meluahkan rasa kesal kerana rintihan mereka tidak 
    didengari malah tidak dipedulikan langsung oleh pihak yang bertanggungjawab. 
     
    Seorang pembeli, Mohd. Isa Hashim, 50, berkata, projek yang dimulakan pada 
    tahun 1996 sepatutnya siap pada tahun 2001 tetapi terbengkalai selepas 80 
    peratus daripada struktur rumah yang dibina siap. 
     
    Menurutnya, selepas puas berjumpa dengan pemaju beliau telah diberi pelbagai 
    alasan termasuk perkhidmatan pengurus projek ketika itu, Multi Tracks 
    Properties Sdn. Bhd. terpaksa ditamatkan kerana kerja-kerja tidak mengikut 
    jadual.  
     
    "Saya serta pembeli lain telah membeli rumah tersebut pada harga RM71,000 
    dan sehingga kini banyak struktur asal rosak atau dicuri,"  
     
    "Disebabkan kegagalan pemaju juga saya terpaksa membayar ansuran kepada bank 
    selain terpaksa mencari rumah lain untuk didiami," katanya kepada Utusan 
    Malaysia di sini semalam. 
     
    Menurut Mohd. Isa, pemaju telah melantik pengurus projek yang baru iaitu 
    Elite Domain Sdn. Bhd bagi meneruskan projek-projek tersebut tetapi telah 
    ditamatkan perkhidmatannya dengan alasan projek tersebut diambil alih semula 
    oleh Kopetra. 
     
    Katanya, kebanyakan pembeli yang menubuhkan jawatankuasa bertindak gagal 
    dihubungi ketika ini dan percaya kebanyakan mereka sudah putus asa dengan 
    projek tersebut selain mungkin ada yang telah meninggal dunia. 
     
    Beliau memberitahu, pembeli ada membuat aduan kepada Syarikat Perumahan 
    Negara Bhd., agar mengambil alih projek tersebut tetapi ia tidak dapat 
    dilakukan kerana projek dijalankan oleh koperasi dan bukannya pemaju swasta. 
     
    Seorang lagi pembeli, Suria Sharif mengharapkan projek perumahan itu dapat 
    diteruskan walaupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan. 
     
    "Bayangkan berapa lama kami perlu tunggu untuk duduk di rumah sendiri 
    sedangkan rumah projek fasa pertama telah pun siap walaupun berdepan dengan 
    masalah sijil menduduki (OC) pada awalnya," katanya. 
     
    Beliau memberitahu, projek fasa pertama pada mulanya berdepan dengan masalah 
    OC tetapi pembeli dapat mendiami rumah mereka kerana kebetulan pada tahun 
    2004 adalah musim pilihan raya dan mendapat bantuan dari kerajaan negeri.
  |