This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni kesal kerja baik pulih dihenti tiba-tiba
20/06/2008 Utusan Online
Oleh A. Jailani Abdullah


 

MohAMAd Zainuddin Yeob menunjukkan bumbung blok rumah yang telah siap dibaiki (kiri) manakala di sebelah kanan ialah blok yang belum dibaiki di Pangsapuri Sri Cempaka, Bukit Sentosa, Rawang.
- Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ


RAWANG 18 Jun - Pelik! Memang pelik. Inilah yang dirasakan oleh penduduk-penduduk Pangsapuri Sri Cempaka, Bukit Sentosa dekat sini gara-gara tindakan pemaju memberhentikan kerja-kerja membaik pulih bumbung rumah pangsa berkenaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Cempaka, Mohamad Zainuddin Yeob, kerja-kerja membaik pulih bumbung di kawasan itu diberhentikan secara tiba-tiba menjelang pilihan raya umum pada Mac lalu.

"Sebelum ini, pihak pemaju telah membaik pulih bumbung tiga blok pangsapuri di sini tetapi kerja-kerja itu diberhentikan secara tiba-tiba sewaktu kempen pilihan raya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Pangsapuri Sri Cempaka mempunyai lapan blok rumah dan setakat ini hanya blok F, G dan H yang telah dibaik pulih.

Beliau menjelaskan, pada mulanya, penduduk-penduduk di sini berasa gembira apabila melihat kerja-kerja membaik pulih bumbung dimulakan sebelum pilihan raya lalu.

Bagaimanapun katanya, kegembiraan mereka tidak berpanjangan apabila kerja-kerja diberhentikan secara tiba-tiba tanpa dimaklumkan sebabnya.

''Kami hanya mengesyaki kerja-kerja diberhentikan setelah pekerja-pekerjanya tidak datang lagi.

''Malah, sisa bahan binaan seperti kayu dan paku ditinggalkan begitu sahaja, yang membuatkan kami bimbang akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak jika terpijak," tegasnya.

Menurutnya, sebahagian rumah di sini digenangi air apabila hujan lebat dan keadaan semakin teruk jika angin kuat dan keadaan sekarang bertambah tidak selesa kerana boleh dikatakan hampir setiap hari hujan.

Utusan Malaysia pernah melaporkan mengenai kedaifan keadaan pangsapuri di Bukit Sentosa termasuk Sri Cempaka, Sri Anggerik dan Semarak yang kesemuanya mengalami kerosakan bahagian bumbung.

Kerosakan itu menyebabkan air meleleh ke dalam rumah terutama di tingkat paling atas pangsapuri lima tingkat itu - mereputkan dinding yang dibina menggunakan batu blok dan menimbulkan risiko berlakunya lintar pintas.

Hasil laporan Utusan Malaysia sebelum ini, kerajaan negeri Selangor telah mengarahkan pemaju memperbaiki bumbung semua pangsapuri itu dan meletakkan syarat kepada penduduk-penduduk supaya membayar yuran penyenggaraan.

Sebelum ini, isu yuran penyenggaraan yang tertunggak dinyatakan oleh pemaju sebagai sebab mengapa mereka enggan memperbaiki bumbung yang rosak kerana mereka tidak mempunyai modal pusingan.

PenyenggaraanIni diakui sendiri oleh Mohamad Zainuddin yang turut menggesa para penduduk di tiga blok yang telah diperbaiki supaya menjelaskan yuran penyenggaraan mereka.

Menurutnya lagi, beliau telah mengadu mengenai masalah berkenaan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengenai hal berkenaan tetapi tiada apa-apa yang berubah.

"MDHS hanya memberitahu bahawa mereka telah memaklumkan kepada pihak pemaju... itu sahaja," ujarnya.

Beliau turut mendesak agar wakil-wakil rakyat di kawasan itu memperjuangkan dan berusaha menyelesaikan masalah mereka seperti yang dijanjikan sewaktu kempen pilihan raya lalu.

Katanya, sewaktu kempen pilihan raya, calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali telah berjanji bahawa kerja-kerja membaiki bumbung berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat jika parti berkenaan berjaya menguasai tampuk pemerintahan Selangor.

"Calon-calon PKR di kawasan ini telah berjanji dalam kempen mereka bahawa jika mereka berjaya menjadi kerajaan negeri maka kerja-kerja membaiki bumbung ini akan disiapkan dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya berakhir.

"Tetapi sehingga kini tidak nampak bahawa kerja-kerja ini akan diteruskan," katanya dengan nada kesal.

PKR memenangi Parlimen Hulu Selangor menerusi Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad manakala bagi DUN Batang Kali, calonnya, Mohd. Nashruddin Abd. Aziz tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd. Isa Abu Kasim.

Mohamad Zainuddin menambah, penduduk-penduduk di situ bimbang kejadian buruk akan berlaku jika masalah itu terus dibiarkan, termasuk yang melibatkan nyawa.

"Serpihan bumbung yang pecah mudah melayang ditiup angin, membuatkan kami bimbang ada yang tercedera nanti.

"Setakat ini, kejadian buruk yang berlaku hanya menyaksikan cermin beberapa buah kenderaan termasuk kereta pecah akibat terkena serpihan bumbung yang melayang jatuh. Jangan nanti ada nyawa yang melayang pula baru nak mengambil tindakan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.