| 
     Penduduk Lestari Permai ucap 
    terima kasih 
    17/06/2008 Utusan Online
     
     
    Hamzah Zainuddin (topi kuning) membuat lawatan ke tapak perumahan yang 
    terbengkalai di sekitar Lestari Permai, baru-baru ini.  
     
    PUCHONG 16 Jun - Jawatankuasa Pembeli Lestari Permai di sini bersyukur 
    apabila masalah rumah terbengkalai membabitkan lima fasa di sini berjaya 
    diselesaikan berikutan campur tangan kerajaan secara langsung.  
     
    Pengerusinya, Ali Hanafiah berkata, keprihatinan Timbalan Menteri Perumahan 
    dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin dalam memastikan projek itu 
    dapat disiapkan awal tahun depan, sangat menggembirakan penduduk. 
     
    Beliau menegaskan, rumah tersebut sepatutnya siap pada 2005 tetapi 
    disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi pemaju, ia terbengkalai selama 
    tiga tahun. 
     
    Ia membabitkan fasa Lestari Permai, Lestari Perdana, Lestari Puchong, 
    Saujana Puchong dan Saujana Putra. 
     
    ''Kami berpuas hati dengan layanan kementerian kerana setelah tiga tahun 
    berjuang mendapatkan hak, penantian kami berakhir jua. 
     
    ''Apa-apa pun saya harapkan rumah kami semua akan siap seperti yang 
    dijanjikan,'' katanya di sini. 
     
    Ketika melawat tapak projek di taman tersebut Sabtu lalu, Hamzah memberi 
    jaminan bahawa kesemua projek perumahan tersebut dapat disiapkan awal tahun 
    depan. 
     
    Jaminan tersebut dibuat setelah beliau mengadakan perbincangan dengan pemaju 
    asal, Talam Corporation dan IJM Corporation yang akan mengambil alih projek 
    terbengkalai itu.  |