| 
     Penduduk resah kerja 
    pembetungan terbengkalai 
    05/06/2008 Berita Harian 
     
    SEREMBAN: Penduduk Taman Marida Senawang Fasa 2, dekat sini, meminta 
    kontraktor yang melaksanakan kerja membina saluran pembetungan di kawasan 
    itu menyiapkan kerja berkenaan yang terbengkalai hampir setahun lalu hingga 
    menyulitkan urusan harian mereka.  
     
    Penduduk mendakwa sejak projek itu terbengkalai, lalu lintas di kawasan itu 
    terjejas setiap hari kerana peralatan kerja yang ditinggalkan di situ 
    mengganggu lalu lintas dan keadaan lebih buruk pada setiap kali hari 
    persekolahan apabila banyak kenderaan termasuk bas sekolah yang melalui 
    jalan itu.  
     
    Jurucakap penduduk taman berkenaan, Hussin Abu Hassan, 63, berkata jalan itu 
    yang sudah mengalami kerosakan akibat kerja menggali saluran itu masih tidak 
    diturap dan berdebu menyebabkan penduduk terutama kanak-kanak terdedah 
    kepada penyakit.  
     
    Katanya, pihaknya hairan kerana sudah setahun tiada sebarang kerja dilakukan 
    kontraktor terbabit manakala peralatan kerja dibiarkan begitu saja tanpa 
    diusik.  
     
    "Kontraktor itu ada memaklumkan kepada saya sebelum ini melalui sepucuk 
    surat bahawa kerja berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin dan jalan itu 
    akan diturap pada atau selewat-lewatnya awal tahun ini tetapi sampai 
    sekarang tiada perubahan dan jalan itu masih tidak diperbaiki.  
     
    "Akibat daripada keadaan itu ia bukan saja menimbulkan kesulitan kepada 
    penduduk terutama kediaman yang berhampiran dengan kawasan itu dan mereka 
    yang melalui jalan itu, malah keseluruhan jalan yang sudah pecah dan 
    berlopak itu menjejaskan keselesaan penduduk," katanya.  
     
    Hussin berkata, lebih 200 orang penduduk menggunakan jalan itu setiap hari 
    dan keadaan lebih rumit ketika musim hujan apabila air bertakung di jalan 
    berlopak itu.  
     
    Beliau yang juga Imam 2 Masjid Jamek Taman Marida berkata, pihaknya menggesa 
    kontraktor terbabit dapat menyiapkan projek itu dengan segera demi 
    kepentingan penduduk dan orang ramai.  
     
    "Saya juga berharap kerosakan yang berlaku pada struktur lantai simen di 
    luar rumah sewaktu kerja-kerja mengorek dilakukan sebelum ini dapat dinilai 
    dan dibuat ganti rugi," katanya.   |