| 
     Melaka tekad pulih projek 
    terbengkalai 
    10/06/2008 Berita Harian Oleh Nasir Abd Wahab 
     
    Jawatankuasa khas dipengerusikan Adun Gedek tangani masalah  
     
    MELAKA: Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam giat membantu 
    memulihkan projek pembangunan terbengkalai di seluruh Melaka bagi memastikan 
    rakyat, khususnya, pembeli menikmati semula pulangan setimpal selepas 
    menanti dengan pelbagai emosi sejak sekian lama.  
     
    Keinginan melihat ia direalisasikan terserlah sejak mendapat mandat baru 
    rakyat dalam pilihan raya umum lalu dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa 
    baru dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, khusus bagi menangani 
    permasalahan itu.  
     
    Jawatankuasa berkenaan dikenali Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan 
    Kecil dan Pemulihan Projek. Bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai, 
    Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek yang juga pemimpin berpengalaman, Datuk 
    Abdul Ghafaar Atan, diberi mandat mengemudi jawatankuasa berkenaan.  
     
    Mengikut statistik Lembaga Perumahan Melaka (LPM), kebanyakan projek 
    terbengkalai membabitkan tempoh enam hingga 15 tahun meliputi perumahan kos 
    sederhana, rendah, bangunan pembangunan kecil dan sederhana (PKS) serta 
    projek komersial seperti hotel dan apartmen.  
     
    Berdasarkan analisis, projek terbengkalai paling banyak di negeri ini 
    membabitkan perumahan iaitu kira-kira 24 dengan nilai pasaran dianggarkan 
    RM500 juta, diikuti projek PKS selain sebuah hotel dan apartmen.  
     
    Abdul Ghafaar yang sudah meninjau separuh daripada projek terbengkalai 
    ketika ditemui baru-baru ini bagaimanapun berkata bilangan di Melaka masih 
    rendah, malah boleh dianggap terkecil jika dibandingkan dengan negeri lain 
    seluruh negara.  
     
    Namun dalam nada tegas, beliau berkata biarpun bilangannya kecil, kerajaan 
    tidak mahu masalah itu berlarutan kerana enggan melihat rakyat, khususnya 
    pembeli menanggung derita.  
     
    Katanya, semua 28 projek terbengkalai di Melaka mampu diteruskan apabila 
    kerajaan negeri mengambil pendekatan membantu pemaju menerusi rebat cukai 
    tertentu dengan harapan mereka menyiapkan projek bagi kepentingan pembeli 
    dan pelabur.  
     
    Begitupun, ada segelintir pemaju mengambil kesempatan daripada sikap 
    kerajaan untuk tidak terus berlengah meneruskan projek dengan memberi 
    pelbagai alasan walaupun sudah banyak kemudahan yang diberikan kerajaan.  
     
    Kes paling ketara membabitkan pembinaan sebuah hotel di tengah Bandaraya 
    Melaka iaitu Hotel Ambassador yang terbengkalai sejak 15 tahun lalu. 
    Difahamkan, pemiliknya terbabit dalam pertikaian sesama ahli keluarga, 
    tetapi kerajaan negeri tetap memberikan kelonggaran untuk mereka menyemak 
    pelan bangunan dan sedia meluluskan pelan tambahan baru.  
     
    Pemiliknya ada mengemukakan pelan baru untuk menambah lima aras lagi bagi 
    pembinaan hotel 15 tingkat itu dan kerajaan menerusi Majlis Melaka Bandaraya 
    Bersejarah (MBMB) setuju menyemak permohonan itu.  
     
    Abdul Ghafaar yang tidak pernah ketinggalan membawa wakil media meninjau 
    setiap lokasi berkata, semua projek terbengkalai tidak dapat disiapkan 
    mengikut jadual antara enam hingga 15 tahun lamanya apabila pemajunya 
    menghadapi masalah kewangan termasuk pertikaian di mahkamah antara pemilik 
    tanah, pemaju asal dan kontraktor yang dilantik pemaju kedua.  
     
    Sambil memberi contoh, sebuah projek komersil di Pulau Melaka, yang 
    terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka digerakkan semula pertengahan 
    bulan ini, sebaik kerajaan negeri mendapat perintah kebenaran daripada 
    mahkamah bagi membolehkan syarikat baru yang dilantik iaitu Ferrier Hodgson 
    MH Sdn Bhd (FHMSB) meneruskan projek berkenaan.  
     
    Projek berkenaan yang membabitkan pembinaan 1,524 unit lot kediaman dan 
    rumah kedai empat tingkat, diberi keutamaan kerana berpotensi disambung 
    semula secepat mungkin berikutan hanya 320 unit lagi yang belum dijual.  
     
    Abdul Ghafaar berkata, mengikut rekod, sebanyak 612 unit rumah kedai bagi 
    fasa I projek berkenaan 95 peratus siap, manakala 35 hingga 85 peratus 
    masing-masing bagi 765 unit rumah kedai fasa II dan fasa III sudah disiapkan.
     
     
    Selain itu, 160 unit apartmen lima tingkat terdiri empat blok bangunan sudah 
    65 peratus siap.  
     
    Katanya, sebelum projek itu diteruskan semula ada beberapa perkara lain 
    perlu disemak dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, 
    khususnya masalah teknikal seperti pembayaran cukai tanah tertunggak.  
     
    Masalah lain yang turut dikenal pasti untuk tindakan segera membabitkan 
    penyambungan paip air dari tanah besar selain kabel elektrik, membina kolam 
    kumbahan dan pemasangan kabel telefon. Semua infrastruktur wajar dipasang 
    dan dibina semula kerana banyak yang rosak atau hilang, manakala kolam 
    kumbahan perlu dibina semula.  
     
    Ketika melawat sebuah projek perumahan terbengkalai di 
    Taman Selandar Indah 
    di Jasin, misalnya, Abdul Ghafaar berkata sebanyak 376 unit rumah kediaman 
    kos rendah bagi ketiga-tiga fasa projek 60 peratus siap tetapi tergendala 
    selama empat tahun apabila pembinaan longkang tidak dapat disiapkan kerana 
    membabitkan tanah milik persendirian.  
     
    "Kerajaan negeri sudah membayar RM60,000 kepada pemilik tanah itu supaya 
    membenarkan binaan itu diteruskan tetapi, kontraktornya masih berdalih, jadi 
    kita berikan mereka tempoh sehingga 30 Ogos ini untuk menyiapkannya supaya 
    kunci boleh diserahkan kepada pembeli pada 1 September,'' katanya.  
     
    Projek berkenaan dimajukan sebuah anak syarikat Pertam membabitkan pembinaan 
    376 rumah kos rendah bernilai RM35,000 setiap satu dan dibangunkan atas 
    tapak seluas 9.04 hektar. Setakat ini, 127 unit sudah berjaya dijual, tetapi 
    fasa ketiga belum dibina.  
     
    Abdul Ghafaar sudah mengarahkan semua pemaju terbabit merujuk permohonan 
    pembangunan sesuatu projek kepada pihak berkuasa tempatan dan LPM supaya 
    boleh dibangunkan tanpa berdepan kerenah birokrasi.  
     
    Katanya, kerajaan negeri sedia membantu pemilik tanah atau pemaju yang 
    berdepan masalah meneruskan projek terbengkalai dengan panduan tertentu 
    supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual.   |