This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sampai bila harus sabar?

07/05/2008 Utusan Online Oleh A. Jailani Abdullah

HILANG SABAR... Pembeli rumah Lestari Permai di Puchong yang sudah menunggu hampir empat tahun berkumpul di kawasan perumahan mereka yang terbengkalai bagi menuntut pemaju menyiapkan rumah mereka, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Tidak tertahan lagi dengan masalah kelewatan dan alasan demi alasan yang diberikan oleh pemaju, gabungan empat Jawatankuasa Bertindak Pembeli-pembeli Rumah yang dibina oleh Talam Corporation (Talam) bertindak menghantar memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), semalam.

Lebih 100 ahli jawatankuasa bertindak itu berkumpul di hadapan kementerian itu di Pusat Bandar Damansara di sini untuk berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk menyerahkan memorandum itu.

Gabungan Jawatankuasa Bertindak itu terdiri daripada Jawatankuasa Taman Lestari Permai, Lestari Puchong, Puncak Jalil Fasa 10A dan Saujana Puchong Fasa 9.

Namun, oleh kerana Ka Chuan dan timbalannya tidak berada di pejabat pada ketika itu, mereka terpaksa berpuas hati untuk sekadar bertemu dengan Timbalan Ketua Pengarah Perumahan, Dr. G. Parameswaran.

Selain menyerahkan memorandum itu, kumpulan itu turut bermesyuarat dengan Parameswaran selama kira-kira tiga jam.

Difahamkan, mesyuarat itu berlangsung dalam suasana yang panas kerana banyak permintaan dan pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli jawatankuasa itu tidak dapat diberikan jawapan yang konkrit oleh pihak kementerian.

Mesyuarat itu cuba membincangkan jalan penyelesaian berhubung masalah kelewatan rumah mereka disiapkan, yang di antaranya telah terlewat hampir empat tahun daripada tarikh yang dijanjikan.

"Perjumpaan hari ini juga tidak berhasil... kami hanya membazir masa dan minyak kenderaan dan akhirnya terpaksa bersabar lagi selepas menunggu empat tahun dan mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan agensi-agensi terbabit dan juga pihak pemaju.

"Kami diminta bersabar dan menghadiri satu lagi pertemuan pada Isnin depan. Kami bersetuju untuk memberikan satu lagi peluang kepada semua pihak terlibat," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Puncak Jalil Fasa 10A, Ayamany Sinakalai.

Bagaimanapun, pembeli terbabit menetapkan beberapa syarat dalam pertemuan minggu depan dan yang paling utama ialah Ka Chuan atau timbalannya mesti menghadiri perjumpaan itu.

Selain itu, mereka turut mahu perjumpaan itu dihadiri oleh pihak pengurusan tertinggi Talam dan IJM Corporation Berhad.

IJM merupakan syarikat yang telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk mengambil alih empat projek perumahan yang terbabit dalam isu itu daripada Talam.

Gabungan Jawatankuasa Bertindak itu juga memberi amaran jika mereka yang disebutkan nama itu tidak menghadiri pertemuan tersebut, mereka akan berarak ke Parlimen.

Menjelaskan alasan mengapa mereka mahu pihak atasan menghadiri pertemuan itu, Ayamany berkata, mereka mahukan penjelasan terus daripada Ka Chuan mengapa tiada tindakan dikenakan ke atas Talam berhubung masalah-masalah yang mereka timbulkan.

"Kami juga mahukan ketua pegawai eksekutif Talam dan IJM Corporation berada dalam perjumpaan itu kerana selama ini perjumpaan demi perjumpaan hanyalah dengan pegawai yang tidak boleh membuat keputusan.

"Kami sudah muak dan tidak boleh bersabar lagi dengan perjumpaan dengan pihak bawahan yang tidak boleh membuat keputusan.

"Jika mereka ini tidak ada di dalam perjumpaan itu, kami akan berarak ke Parlimen," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi Lestari Puchong, K.P. Leong berkata, mereka mendakwa kebanyakan rumah terbabit telah 80 peratus siap.

"Talam telah mengutip bayaran sebanyak 80 peratus daripada pembeli dan tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk menyiapkan baki kerja mereka.

"Ke mana perginya wang yang mereka peroleh selama ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi Saujana Puchong Fasa 9, Ahmad Nasuhar Hassan pula berkata, mereka tidak dapat menerima alasan Talam bahawa projek itu tidak dapat disiapkan kerana masalah kewangan.

Katanya, ini kerana akhbar pernah melaporkan bahawa Talam diberikan projek Lebuh Raya Pantai Barat oleh kerajaan dengan harapan wang yang mereka peroleh daripada projek besar itu dapat digunakan untuk menyempurnakan projek-projek perumahan mereka yang telah terlewat.

Beliau turut membawa keratan akhbar yang melaporkan berita itu sebagai bukti.

Ayamany turut menyokong kenyataan Ahmad Nasuhar dengan menunjukkan keratan akhbar lain yang melaporkan bahawa Talam akan melabur berbilion ringgit untuk projek hartanah di China.

"Kalau dia (Talam) ada duit untuk labur di China, mengapa rumah kami di sini tidak disiapkan," katanya.

Sementara itu, Parameswaran berkata, dakwaan pembeli-pembeli bahawa pihak kementerian tidak mengambil sebarang tindakan adalah tidak benar.

"Kami sentiasa memantau Talam. Antara tindakan KPKT ialah tidak memberikan projek perumahan lagi kepada Talam dan menyenaraihitamkan lembaga pengarah dan syarikat itu.

"Selain itu, kami membuat tinjauan ke tapak projek dan mengadakan mesyuarat dengan Talam setiap bulan, selain dengan agensi lain yang terbabit," katanya.

Mengenai perjumpaan yang diatur pada Isnin depan, Parameswaran berkata, beliau akan berusaha agar menteri atau timbalannya menghadiri pertemuan itu.

"Saya tidak boleh berjanji kerana kita tahu menteri atau timbalannya sibuk dan belum tentu mereka mempunyai kelapangan pada hari yang diaturkan," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.