This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek Pondok Kempas terbengkalai siap Ogos ini
13/05/2008 Utusan Online

JASIN 12 Mei - Pembinaan 22 unit rumah kos rendah fasa dua Pondok Kempas, Selandar di sini yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu telah disambung semula.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, projek tersebut dijangka dapat disiapkan Ogos ini.

Beliau berkata, projek tersebut ditangguh pembinaannya sebelum ini kerana ketiadaan tangki air menyebabkan projek tersebut gagal disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, pemaju projek berkenaan telah memberi jaminan akan menyiapkan kesemua rumah terbengkalai itu mengikut masa yang dijanjikan.

''Projek ini terletak di kawasan berbukit dan ia mesti mempunyai tangki air bagi memenuhi keperluan penduduk.

''Syarikat Air Melaka juga sudah memberi jaminan akan membina tangki berkenaan pada masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat beberapa projek terbengkalai di sekitar Jasin, Sungai Rambai dan Merlimau di sini, hari ini.

Antara projek bermasalah yang terlibat dalam lawatan itu ialah projek rumah kos rendah Taman Selandar Permai, Parit Perawas dan Taman Hajah Yon di Merlimau.

Menurut Abdul Ghafaar, beberapa projek bermasalah yang dilawati hari ini didapati telah tertangguh untuk tempoh masa yang agak lama dan ada di antara projek berkenaan dimulakan sejak tahun 2000.

Ujarnya, mengenai projek perumahan kos rendah Pondok Kempas, Syarikat Air Melaka telah menyediakan surat tawaran tender kepada kontraktor untuk membina tangki air di kawasan berkenaan pada masa terdekat ini.

''Pemaju projek itu memberi jaminan akan menyiapkan unit rumah yang terbengkalai pada Julai, namun saya tambah masa lagi sebulan untuk mereka siapkan projek tersebut, rumah-rumah ini perlu siap pada 31 Ogos," kata beliau.

Beliau berkata, daripada 22 unit rumah yang terbengkalai, 18 unit daripadanya telah mempunyai pembeli dan rumah yang telah siap akan diserahkan kepada pembeli pada bulan September.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.