This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Plaza Rakyat tetap diteruskan
26/05/2008 Utusan Online Oleh Siti Airunnisa Alaui

KUALA LUMPUR 25 Mei - Projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu tetap akan diteruskan pembinaannya, kata Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rohayah Karim.

Beliau berkata, walaupun projek itu telah lama terbengkalai, namun pembinaannya ia tetap akan diteruskan kerana lokasinya yang strategik iaitu di tengah-tengah ibu kota serta pembinaan bertujuan memberi kemudahan kepada semua pihak.

Sehubungan itu, kata beliau, satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani oleh DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemajunya, Plaza Rakyat Sdn. Bhd. pada awal Julai ini.

"Projek ini akan diteruskan walaupun sebelum ini ia terbengkalai agak lama disebabkan pemaju asal menghadapi masalah kewangan akibat kegawatan ekonomi pada 1997,'' katanya pada Program Bertemu Media di sini baru-baru ini.

Rohayah berkata, memandangkan Plaza Rakyat merupakan salah satu projek penswastaan yang dilaksanakan oleh DBKL, maka tidak timbul soal ia akan dihentikan.

Tambahan pula, katanya, struktur asas bangunan itu telah siap dan hanya memerlukan kerja-kerja untuk menyempurnakan bangunan itu sahaja.

Beliau menambah, walaupun projek tersebut telah terbengkalai, namun pemantauan dilaksanakan setiap masa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di situ.

Beliau turut menafikan berlaku pencerobohan oleh orang awam atau penagih dadah ke kawasan pembinaan tersebut.

"Kawasan itu dipagar dan dikawal oleh pengawal setiap masa dan orang awam tidak dibenarkan sama sekali berkeliaran di kawasan itu.

"Selain itu, pemaju turut melakukan penyemburan kabus di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kawasan binaan tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyalah tafsir sekiranya melihat orang keluar masuk ke kawasan berkenaan kerana mereka adalah pekerja yang sedang melaksanakan tugas.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai desakan orang ramai supaya projek Plaza Rakyat dipulihkan kerana ia bukan sahaja mencacatkan landskap Kuala Lumpur malah diperlukan bagi menggantikan Hentian Puduraya yang sesak.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.