This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kesabaran kami ada had - Pembeli
12/05/2008 Utusan Online

KUALA LUMPUR 11 Mei - ''Sudah enam tahun kami menanti. Kami hanya mahu sijil layak menduduki (CF) dengan segera,'' kata mereka.

Begitulah rungutan 96 pembeli projek perumahan Fasa 10, Taman Puncak Jalil yang tidak dapat memiliki rumah disebabkan keengganan pemaju memohon CF untuk mereka.

Rata-rata penduduk kecewa dengan tindakan pemaju yang enggan menyerahkan CF tersebut walaupun rumah mereka telah siap dibina dan selamat untuk diduduki.

Seorang penduduk yang ditemui, Neisha Ahmad, 44, memberitahu, keadaannya yang menghidap penyakit buah pinggang menyebabkan dia terpaksa mendesak supaya pemaju memberikan CF tersebut secepat mungkin.

Menurutnya, ini kerana, dia tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan hidup yang tinggi serta terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki kini dan serta kos rawatan penyakitnya.

"Sudah enam tahun saya mendiamkan diri, namun kesabaran saya ada hadnya kerana pemaju seperti memijak kepala pembeli apabila enggan menyerahkan CF rumah tersebut.

"Lebih mengejutkan mereka minta pula kami (pembeli) melupakan pemberian Kecairan Bayaran Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) akibat kelewatan projek tersebut siap.

"Ini tidak adil kerana masalah tersebut berpunca daripada pihak mereka, jadi mengapa kami pula yang menjadi mangsa. Sebagai pembeli, kami berhak menuntut hak kami untuk mendapatkan LAD itu,"jelasnya.

Seorang lagi pembeli, Yeoh Cheng Lim, melahirkan rasa ketidakpuasan hatinya kerana keengganan pemaju memberikan CF tersebut hanyalah kerana alasan yang tidak munasabah.

"Pemaju memberikan alasan bahawa mereka perlu menyiapkan 3,000 unit rumah lain sebelum dapat menyerahkan CF rumah kami.

"Bagaimanapun, apa yang kami tidak puas hati ialah unit-unit rumah tersebut baru sahaja dimulakan pembinaannya, jadi berapa lama lagi kami harus tunggu untuk mendapatkan CF tersebut.

"Jadi, saya amat berharap supaya pemaju memikirkan alasan yang lebih munasabah dan jangan menipu pembeli lagi. Kami hanya mahukan CF kami sahaja," ujarnya.

Keluhan Cheng Lim disokong seorang lagi pembeli, Zainal Mat, 33, yang terpaksa menanti sekian lama untuk memiliki rumah kediamannya.

"Saya sudah lama menyewa, jadi saya harap sangat dapat tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa.

"Sekiranya, pemaju tidak menyerahkan CF tersebut kepada kami secepat mungkin, kami bercadang untuk tinggal sahaja di rumah tersebut tanpa CF dan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

"Kami tiada pilihan lain kerana rumah tersebut adalah rumah kami," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.