This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

10 tahun menanti Plaza Rakyat
21/05/2008 Utusan Online Oleh Farah Musa

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kegawatan ekonomi pada 1997-1999 sememangnya memberikan tamparan yang hebat kepada keadaan politik dan sosioekonomi negara ini.

Entah berapa banyak syarikat yang tumbang disebabkan kegawatan ekonomi ketika itu memang tidak terkira banyaknya.

Ramai yang tidak percaya pada ketika itu apabila pakar-pakar ekonomi meramalkan negara memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun untuk pulih sepenuhnya.

Dan sudah sedekad lamanya kegawatan itu berlaku, kesannya masih dapat dilihat sampai sekarang apabila terdapat banyak bangunan atau projek yang terbengkalai di ibu negara akibat kegawatan tersebut, sampai sekarang.

Terdapat di antara projek tersebut yang telah bertukar tangan beberapa kali dengan harapan ia dapat diteruskan tetapi sampai sekarang tidak juga dapat disiapkan.

Salah sebuah projek mega pada masa itu yang masih terbengkalai sampai sekarang ialah bangunan Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan Hentian Pudu Raya.

Kewujudan projek terbengkalai itu bukan sahaja merugikan semua pihak yang melabur di dalamnya malah ia mencacatkan landskap Kuala Lumpur.

Tanpa disedari, sudah lebih 10 tahun penungguan orang ramai untuk merasai perhentian bas yang baru di Plaza Rakyat sekadar tinggal harapan.

Difahamkan, bangunan itu dibina bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat pengangkutan awam bersepadu.

Projek dianggarkan bernilai RM419.999 juta ini diserahkan oleh kerajaan kepada Plaza Rakyat Sdn. Bhd. (PRSB) dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemaju bersama dalam projek ini.

Ia dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2007 mengikut janji terakhir diberikan tetapi sehingga ke hari ini projek ini masih belum disiapkan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bangunan tersebut bukan sahaja masih belum siap malah tiang-tiang terbiar sehingga keadaan bangunan kelihatan menjadi terlalu buruk.

Selain itu, bumbung bangunan juga masih belum dipasang sedangkan projek ini sudah lebih 10 tahun bermula.

Lebih menyedihkan lagi, akibat daripada projek ini, rakyat terpaksa menanggung masalah lain iaitu kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan menuju ke Pudu Raya.

Keadaan ini berlaku ekoran ketiadaan tempat untuk dijadikan perhentian bas memandangkan di Hentian Pudu Raya sudah sesak dan pemandu bas terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit serta berlaku kesesakan.

Berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, jalan yang terdapat di situ begitu sempit dan sering berlaku kesesakan serta ditambah pula dengan kehadiran bas di tepi-tepi jalan, membuatkan dua lorong jalan yang dilalui sekadar menjadi satu sahaja.

Situasi ini menyukarkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung kerana terpaksa berjalan agak jauh untuk mendapatkan bas dan mereka terpaksa menaikinya ditepi jalan.

Namun, apa yang dapat dilihat kini, di sekeliling bangunan tersebut telah dipasang dengan pagar dan kelihatan beberapa orang pekerja sedang berada di dalam kawasan bangunan yang seterusnya menimbulkan persoalan di kalangan orang awam.

Utusan Malaysia juga cuba untuk memasuki kawasan bangunan itu untuk melihat dengan lebih jelas keadaan di dalam bangunan itu tetapi pengawal yang bertugas tidak membenarkan menghampiri dan memasuki ke kawasan itu.

Apa yang membimbangkan jika bangunan itu terus dibiarkan tanpa ada sebarang usaha untuk menyiapkannya, dikhuatiri ia akan menjadi sarang penagih dadah dan tempat tinggal pendatang asing.

Jika bangunan ini siap, ia bukan sahaja memudahkan perkhidmatan bas dan orang ramai yang ingin balik ke kampung, malah perkhidmatan teksi juga akan dapat beroperasi dengan lebih lancar.

Malah apabila projek ini siap, ia akan menjadi satu lagi mercu tanda ibu kota dan secara tidak langsung menjadi tempat pelancongan bagi pengunjung yang datang ke negara ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.