This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tangani rumah terbengkalai
02/04/2008 Utusan Malaysia

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat berhubung rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menunjukkan bagaimana keseluruhan projek terbengkalai bagi tempoh 1990 hingga 2005 begitu bermasalah.

Sama ada perkara ini berpunca daripada sikap pembeli atau pengurusan kementerian berkenaan atau pemaju sendiri, ia haruslah ditangani dengan saksama demi untuk menjaga kepentingan pengguna.

Bermula dari 1990 hingga 2005, daripada rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tercatat menunjukkan 261 projek perumahan terbengkalai dengan 88,410 buah rumah, nasib yang buruk dan tidak adil ini telah dialami oleh seramai 58,685 pembeli.

Permintaan untuk membeli rumah sebenarnya tidak pernah berkurangan sama ada rumah kos rendah, sederhana atau kos tinggi. Daripada iklan-iklan yang dikeluarkan, pembeli seperti tidak ada masalah apabila bank-bank telah mengeluarkan tawaran pinjaman.

Namun apa yang berlaku di sebaliknya, ramai yang teraniaya, tertipu dan mengeluh kerana rumah yang mereka impikan itu tidak menjadi kenyataan.

Adakah pembeli tidak mempunyai pengetahuan yang cukup atau pembeli tidak mengetahui hak-hak mereka sebagai pembeli?

CAP telah membuat analisis dalam perkara ini dan mendapati terdapat banyak sebab antaranya ialah agensi kerajaan yang meluluskan projek lambat membuat keputusan sehingga harga meningkat.

Selain itu, pemaju mengalami masalah kewangan dan sijil kelayakan menduduki rumah (CF) lewat diperoleh walaupun rumah itu telah siap. Pemaju juga mengambil wang pendahuluan dan menyimpannya bertahun-tahun atau menampung projek yang lain sedangkan rumah belum diperuntukkan.

Di samping itu pembinaan tidak mengikut spesifikasi, rumah kos rendah dibina di kawasan berlainan sedangkan harganya sama dan pembinaan juga tidak sempurna.

Pembeli membayar secara tunai tetapi gagal mendapat hak milik daripada bank yang membiayai projek itu kerana pemaju enggan membayar hutang kepada bank dan faedah yang dikenakan juga terlampau tinggi. Akhir sekali pemaju melepas tangan selepas projek itu siap tetapi tidak sempurna.

Projek perumahan dianggap terbengkalai apabila kerja-kerja pembinaan dan pemajuan di tapak terhenti selama enam bulan atau lebih secara berterusan sama ada dalam tempoh masa siap atau di luar masa siap mengikut Perjanjian Surat Jual Beli.

Projek perumahan juga dianggap terbengkalai apabila pemaju yang tidak berupaya meneruskan projek masing-masing atau apabila pengawal perumahan berpendapat pemaju-pemaju tidak dapat lagi meneruskan tanggungjawab mereka sebagai pemaju.

Projek terbengkalai ini mula dikenal pasti pada tahun 1983 lagi dan bagi tujuan pemulihan satu Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai telah ditubuhkan oleh Bank Negara pada tahun 1990 di mana Syarikat Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai Sdn. Bhd., diberi tanggungjawab untuk mengkaji dan memulihkan projek.

Apa pun alasan dan sebab, pembeli adalah orang pertama yang teraniaya, puluhan ribu meminjam bank, belum pun merasai nikmat tinggal di dalamnya, bayaran bulanannya sudah pun bermula.

Sehubungan itu, CAP mengesa supaya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil langkah dan tindakan yang aktif dan berkesan bagi menangani masalah perumahan terbengkalai ini agar pembeli rumah mendapat hak mereka yang sepatutnya.

– S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.