This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Taman Bidara Palma siap November ini

09/04/2008 Utusan Online


MELAKA 8 April – Projek perumahan Taman Bidara Palma Fasa Dua di Alor Gajah di sini, yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu akan siap menjelang November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan berkata, jaminan itu dinyatakan sendiri oleh pemaju yang berjanji akan menyambung semula projek tersebut pada Jun depan.

Katanya, beliau difahamkan, terdapat 182 unit rumah, terbabit dengan kerja pemulihan projek tersebut.

‘‘Ini termasuk rumah teres sederhana jenis B yang terdiri 89 unit sudah dibeli oleh 85 orang dan kini mencapai hampir 75 peratus untuk siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projekprojek terbengkalai di sekitar Alor Gajah di sini hari ini.

Abdul Ghaafar menambah, selain itu, projek terbabit juga termasuk banglo setingkat yang mempunyai 11 unit yang sudah mempunyai pembeli dan kini mencecah 65 peratus untuk siap.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan Jabatan Teknikal Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) agar membantu pemaju terbabit mempercepatkan projek pembinaan khususnya dalam aspek teknikal.

Dijual

Mengenai projek Taman Bidara Palma Fasa Satu seluas 21.85 hektar melibatkan pembinaan 106 unit pula, beliau berkata, kesemua unit rumah itu walaupun habis dijual tetapi masih tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

Menurut Abdul Ghaafar, ini kerana timbul masalah teknikal dari segi pembentungan dan pemaju projek terbabit telah diarah melaksanakan sistem pembentungan mengikut piawaian yang ditetapkan.

‘‘Saya beri tempoh dalam bulan ini sahaja kepada pemaju untuk menyiapkan sistem pembentungan yang ditetapkan.

‘‘Kemudian, barulah MPAG mengeluarkan CF segera,” kata beliau.

Sementara itu, beliau meminta pihak pemaju terbabit dan agensi kerajaan berkaitan agar menjalin kerjasama yang sewajarnya bagi memastikan projek itu siap mengikut jadual.

Ini katanya, sekali gus meringankan masalah yang ditanggung oleh pembeli rumah sejak 10 tahun lalu.

Abdul Ghaafar turut melahirkan rasa simpati terhadap bebanan masalah yang ditanggung pembeli kerana terpaksa membuat bayaran kepada pihak bank, tetapi rumah masih belum dapat disiapkan biarpun sudah beberapa kali projek tersebut bertukar syarikat pemaju.

‘‘Kita selaku kerajaan negeri akan bertindak sewajarnya ke atas pemaju jika mereka masih gagal menunaikan janji untuk menyiapkan projek mengikut jadual,” tegas beliau.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.