This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai aniaya pembeli
06/04/2008 Berita Harian Oleh Azrul Affandi Sobry

Kerajaan wajar ambil tindakan drastik bela nasib rakyat perlukan kediaman

"ANIAYALAH kami macam ni.. bayar ansuran rumah tapi rumah tak siap-siap. Sewa rumah pun kena bayar. Kalau selamanya begini, mana boleh hidup. Mereka tak fikir langsung nasib kami menyewa di rumah orang sedangkan rumah sendiri tak tahu dapat atau tidak!"

Itulah antara keluhan dan luahan hati pembeli rumah yang menjadi mangsa projek terbengkalai. Rasa hati mereka pastinya terbit daripada tekanan yang dihadapi disebabkan terus dibebani hutang sedangkan apa yang dibeli belum pasti dimiliki.

Ini pastinya bukan isu baru kerana masalah projek terbengkalai sudah menjadi topik utama kebanyakan akhbar, malah tidak mustahil juga menjadi satu topik hangat yang diperbualkan di kedai kopi... menjamu selera sambil menumbuk meja meluahkan kemarahan.

Namun, meskipun ia menjadi satu isu lama yang sudah muak diperkatakan, penyelesai-annya masih menemui jalan buntu dan seakan tiada pembelaan kepada nasib pembeli.

Tiadakah simpati pada pihak berwajib jika merenung nasib malang pembeli yang seakan dibuli apabila menjadi mangsa belasahan dikejar pihak bank yang kononnya menuntut hutang mereka.

Di manakah keadilan kepada mereka? Selepas lama mencongak masa depan dan membuat pelaburan membeli rumah yang mungkin hanya sekali seumur hidup, akhirnya apa yang diidamkan menjadi mimpi ngeri. Beban hidup makin bertambah, sewa perlu dibayar... ansuran bank, kalau cuba mengelak, surat saman yang mereka terima.

Justeru, senario ini tidak boleh terus dipandang sepi oleh kerajaan. Langkah drastik dan segera perlu diambil untuk memastikan rakyat mendapat hak sewajarnya. Apa guna mendabik dada dengan kemajuan yang ada jika rakyat masih terus menjadi mangsa.

Cadangan pelbagai pihak sebelum ini supaya kerajaan memperkenal dan mewajibkan konsep 'bina dan jual' perlu diakui sebagai langkah paling tepat untuk menangani masalah projek terbengkalai.

Sekurang-kurangnya, dengan pendekatan itu, pembeli dapat membuat pilihan dan diberi jaminan bahawa wang yang bakal mereka laburkan akan dijanjikan sesuatu yang mereka inginkan.

Namun, timbul pula isu pelaksanaan itu bakal membunuh pemaju kerana memerlukan kos yang tinggi. Kononnya juga, bank tidak akan memberi kerjasama untuk membiayai kebanyakan projek terutama di kawasan luar bandar.

Tetapi, itu pastinya bukan alasan yang boleh menenangkan semua pihak kerana pada pihak pembeli, mereka mengharapkan pemaju perlu ada kemampuan kewangan yang mencukupi sebelum terjun ke sektor pembinaan. Jangan jadi pemaju kalau sumbernya hanya secubit.

Mengapa pemaju perlu mengharapkan ehsan wang pembeli bagi memulakan projek. Sepatutnya, pemaju perlu bersedia dengan semua kekuatan kewangan yang ada bagi memastikan projek itu berjaya sebelum diiklankan jualannya kepada pembeli.

Soal kedua yang paling mengecewakan ialah peranan institusi perbankan sendiri dalam menangani isu ini. Agak pelik apabila ada maklumat menyatakan bank hanya menyalurkan pembiayaan tanpa merujuk atau membuat pemantauan ke tapak pembinaan. Pemaju kata 40 peratus siap, 40 peratus bank akan biaya.

Pastinya ramai bersetuju bahawa bukan semua pemaju jujur. Meskipun perakuan proses dibuat oleh arkitek, tidak mustahil arkitek berpihak kepada pemaju untuk memberi maklumat palsu. Apa jadi jika ia palsu dan bank terus membuat pembiayaan yang akhirnya akan menjadi beban hutang pembeli?

Pihak bank sepatutnya tidak terlalu bersikap 'mata duitan' yang hanya nampak keuntungan dengan menyeluk saku pembeli. Apa salahnya pegawai bank turun padang dan melihat sendiri proses projek sebelum menyalurkan pembiayaan supaya tidaklah beban hutang pembeli jadi bertimbun.

Apapun, isu ini pastinya akan mengundang salah menyalah di kalangan semua pihak. Bank akan kata, kami hanya nak hak kami yang sudah disalur keluar. Pembeli pula akan terus memaki hamun apabila rumah dibeli tak nampak bayang, hanya lalang memenuhi tapak. Kementerian pula akan terus meminda itu dan ini yang tidak banyak memberi kesan kepada penyelesaian masalah.

Mungkin tepat cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang meminta kerajaan menubuhkan badan khas untuk mengambil alih projek terbengkalai dengan segera supaya pembeli tidak berterusan dianiaya.

Harapannya, kerajaan tidak hanya mengangguk kepala bersetuju untuk mengkaji cadangan itu, tetapi pelaksanaannya tidak tahu bila dan akhirnya pembeli berterusan menjadi mangsa. Bertindaklah segera sebelum luka menjadi parah!

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.