This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MPAJ tunggu laporan Ikram

10/04/2008 Utusan Online


KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memastikan tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah kejadian tanah runtuh yang berlaku di Apartmen Mutiara Court, Taman Bukit Permai, Cheras Baru di sini.

Setiausahanya, Abdul Hamid Hussin berkata, tindakan tersebut akan diambil selepas mendapat maklum balas serta keputusan kajian daripada Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) serta Jabatan Mineral dan Geosains dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, kajian tersebut akan dilaksanakan dengan teliti supaya usaha mengatasi masalah itu memberi impak yang berkesan dan berupaya mengelaknya daripada berulang kerana ia melibatkan struktur tanah.

"Setakat ini, Majlis (MPAJ) masih menunggu keputusan muktamad daripada kedua-dua pihak tersebut bagi membolehkan sebarang tindakan dijalankan.

"Ini kerana, kita bimbang sekiranya tindakan diambil tidak mengikut keputusan kajian tersebut akan menyebabkan kejadian tersebut berulang.

"Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan serpihan-serpihan batu tersebut telah dilakukan selepas kejadian tanah runtuh tersebut berlaku baru-baru ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh yang mengancam penduduk Apartmen Mutiara Court, Taman Bukit Permai di sini sejak beberapa tahun yang lalu.

Penduduk mendakwa, kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tersebut terutamanya pada musim hujan.

Dakwa penduduk lagi, masalah itu semakin membimbangkan kerana selang tiga minggu selepas kejadian tanah runtuh di jalan utama apartmen tersebut, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di dalam kawasan apartmen berkenaan.

Ujar Abdul Hamid, sekiranya tanah runtuh tersebut berlaku di dalam kawasan apartmen, pihak pemaju seharusnya bertanggungjawab mengatasi masalah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, MPAJ akan turut sama membantu untuk memastikan tindakan yang akan diambil adalah mengikut nasihat Jabatan Mineral dan Geosains serta Ikram bagi menjamin kejadian tanah runtuh tersebut tidak berulang lagi.

Selain itu, kata beliau, MPAJ juga akan mengarahkan pegawainya membuat pemantauan di kawasan tersebut sementara menunggu keputusan dikeluarkan oleh kedua-dua jabatan itu dalam masa terdekat ini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.