| 
     Sudah puas kami mengadu – 
    Penduduk 
    19/03/2008 Utusan Malaysia Oleh Siti Airunnisa Alaui 
     
    PANDAN PERDANA 18 Mac - Isu rumah terbengkalai, kediaman tidak selesa dan 
    masalah kekurangan kemudahan awam di perumahan kos rendah dan projek 
    perumahan rakyat sering kali disiarkan di media massa. 
     
    Lebih memburukkan keadaan, pemaju sudah diisytiharkan bankrap manakala pihak 
    berkuasa tempatan (PBT) awal- awal lagi sudah memaklumkan ia di luar bidang 
    kuasa mereka. 
     
    Begitulah situasi yang terpaksa dihadapi oleh penduduk Flat 700 di Pandan 
    Perdana di sini. 
     
    Penduduk yang ditemui meluahkan rasa kesal kerana rintihan mereka tidak 
    didengari malah tidak dipedulikan langsung oleh pihak yang bertanggungjawab. 
     
    Seorang penduduk, Osman Karimbakh, 50, berkata, dia amat sedih kerana sejak 
    10 tahun lalu kerosakan kemudahan awam di flat tersebut tidak pernah dibaiki 
    dengan sempurna. 
     
    Menurutnya, telah puas dia berjumpa dengan pihak pemaju dan Majlis 
    Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun 
    masih belum berjaya. 
     
    “Saya sudah letih menulis surat untuk memohon segala kemudahan di sini namun 
    tiada sebarang tindakan diambil sehinggakan penduduk bermasam muka kerana 
    mendakwa persatuan penduduk tidak membuat kerja. 
     
    “Jadi, saya rasa sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil alih tugas ini 
    kerana kami tidak mampu lagi untuk menyelesaikannya. 
     
    “Lagipun, dengan kuasa yang kerajaan ada, mereka mampu untuk membantu 
    mengatasi masalah ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 
     
    Seorang lagi penduduk, Paramesevan a/l Gengan, 38, mengakui masalah itu 
    hanya akan dapat diselesaikan menerusi kerjasama semua pihak termasuk 
    kerajaan negeri, pemaju, MPAJ dan penduduk. 
     
    “Saya akui sebahagian masalah ini berlaku akibat daripada sikap tidak 
    bertanggungjawab penduduk bagaimanapun ia bukannya 100 peratus salah 
    penduduk. 
     
    “Ini kerana, kesemua lif mulai rosak hanya selepas lima bulan kami mendiami 
    flat ini dan dipercayai akibat tindakan pemaju menggunakan lif tersebut 
    untuk mengangkat bahan binaan yang berat semasa pembinaan,” katanya. 
     
    Dia amat berharap masalah itu dapat diselesaikan dan membolehkan penduduk 
    menarik nafas lega dan dapat hidup dengan lebih suasana yang lebih baik. 
     
    Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Flat 700, Mohamed Nor Taharim, 56, semua 
    agensi kerajaan yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen 
    perlu turun padang bagi melihat sendiri kedaifan flat tersebut. 
     
    “Saya percaya sekiranya mereka datang melawat flat ini, mereka lebih mudah 
    memahami masalah dan menyelesaikannya. 
     
    “Saya amat berharap kerajaan negeri dapat membantu kami yang telah sengsara 
    sejak 10 tahun ini,’’ jelasnya sayu.  |