| 
     Pihak berkuasa dirayu atasi 
    masalah penduduk 
    21/03/2008 Utusan Online  
     
    JOHOR BAHRU 20 Mac – Seramai 180 penduduk di Jalan Soga, Taman Bukit Tiram 
    di sini bimbang kejadian tanah runtuh dan jenayah pecah rumah yang sering 
    berlaku di kawasan mereka akan menjejaskan keselamatan penduduk. 
     
    Sehubungan itu, mereka merayu pihak berkuasa mengatasi masalah tersebut yang 
    dikatakan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. 
     
    Timbalan Pengerusi Perpaduan dan Kejiranan penduduk taman itu, Nasri Abu 
    Hasan, 52, berkata, kejadian tanah runtuh sering berlaku walaupun 
    jalan-jalan yang terjejas telah dibaiki berulang kali oleh pihak berkuasa. 
     
    ‘‘Selain itu, jenayah pecah rumah turut menjadi-jadi kerana kawasan 
    perumahan itu tidak mempunyai lampu jalan. 
     
    ‘‘Apabila laporan dibuat, pihak pemaju tidak mahu bertanggungjawab dan 
    memberi alasan masa yang diperuntukkan untuk membaik pulih kawasan itu telah 
    tamat tempoh dan pihak pemaju kekurangan kontraktor,” katanya kepada Utusan 
    Malaysia di sini hari ini. 
     
    Menurut Nasri, kebanyakan rumah di kawasan itu juga mengalami kebocoran 
    siling sejak tiga tahun lalu dan masalah itu berpunca daripada perancangan 
    pembangunan yang tidak teliti oleh syarikat pemaju. 
     
    Katanya, kebanyakan bahagian siling rumah di kawasan itu diserang anai-anai 
    yang mengakibatkan kebocoran teruk serta kelihatan berbelak-belak. 
     
    Justeru, beliau berkata, pihak berkuasa perlu campur tangan bagi memastikan 
    syarikat pemaju bertanggungjawab mengatasi semua masalah tersebut secepat 
    mungkin. 
     
    ‘‘Pihak berkuasa berkaitan perlu mengadakan rundingan dengan penduduk 
    secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah 
    itu demi keselesaan penduduk,” katanya.
  |