MPT digesa segerakan kajian tanah runtuh 
    24/03/2008 Utusan Malaysia Oleh Ali Mahmood 
     
    MENTAKAB 23 Mac - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) digesa mempercepatkan 
    hasil kajian tanah runtuh yang berlaku di Taman KSM di sini akhir tahun lalu 
    bagi mengelakkan nyawa penduduk dan keselamatan rumah di kawasan itu terus 
    terancam. 
     
    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chuah Boon Seong berkata, MPT 
    perlu menyiapkan segera laporan terperinci mengenai kesan tanah runtuh itu 
    untuk dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi 
    mendapatkan sejumlah peruntukan bertujuan membina benteng penahan hakisan 
    daripada terus berlaku.  
     
    Menerusi peruntukan itu, kata beliau, MPT dapat melakukan kerja-kerja 
    membaik pulih bagi menahan tanah di kawasan itu daripada terus terhakis 
    memandangkan musim hujan sejak akhir-akhir ini. 
     
    ''Memandangkan sekarang musim hujan dan keadaan tanah runtuh semakin 
    kritikal, kerja-kerja membaik pulih memerlukan peruntukan yang lebih besar 
    agar hakisan tanah tidak berlaku lagi pada masa depan dan penduduk tidak 
    hidup dalam kebimbangan," katanya. 
     
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke 
    kawasan tanah runtuh di Taman KSM bersama Timbalan Menteri Pembangunan 
    Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen 
    Temerloh selain ADUN Lanchang, Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Yang Dipertua 
    MPT, Datuk Zulkifli Yaacob.  
     
    Menurut Boon Seong, sebelum ini, MPT memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk 
    kerja-kerja pembinaan teres namun jumlah itu tidak mencukupi memandangkan 
    kesan runtuhan tanah yang sangat serius. 
     
    Katanya, MPT perlu mengkaji jumlah kos keseluruhan yang diperlukan untuk 
    melakukan kerja-kerja membaik pulih di kawasan tanah runtuh itu bagi 
    mengatasi masalah tersebut secara menyeluruh. 
     
    Boon Seong turut meminta penduduk di taman perumahan itu bersabar sementara 
    menunggu kerja-kerja membaik pulih dilakukan dan beliau akan sentiasa 
    mengikuti perkembangan sekiranya berlaku pergerakan tanah yang boleh 
    mendatangkan bahaya dan mengancam nyawa penduduk. 
     
    Beliau juga meminta MPT mengkaji terlebih dahulu keadaan tanah dan tapak 
    perumahan yang ingin dibangunkan pemaju kerana tidak mahu rumah dibina di 
    kawasan yang tidak selamat dan membahaya pembeli. 
     
    ''Apabila berlaku keadaan seperti ini, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan 
    terpaksa menanggung akibatnya kerana pembeli akan menuding jari kepada kita," 
    kata beliau. | 
   
  
    | 
        | 
   
 
  
 
 |