| 
     MPS pulih bangunan 
    terbengkalai 
    15/03/2008 Utusan Online Oleh: HUSSAINI AMRAN 
     
    SEREMBAN 14 Mac - Dalam usaha untuk mencapai taraf bandar raya menjelang 
    September 2009 ini, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah menjalankan 
    usaha pemulihan struktur bangunan komersial terbengkalai di bandar berkenaan. 
     
    Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Halim Abd. Latif ketika dihubungi di sini hari 
    ini berkata, MPS telah bertindak secara proaktif dengan menghubungi 
    syarikat-syarikat pemaju terbabit dan berbincang dengan mereka tentang 
    langkah-langkah penyelesaian yang boleh diambil. 
     
    "Tindakan MPS ini membuahkan hasil yang positif setelah dua struktur 
    bangunan komersial yang terbengkalai sejak tahun 1998 di bandar ini akan 
    dimajukan semula. 
     
    "Sebuah bangunan terletak berhampiran Jalan Tuanku Antah di lokasi 
    berdekatan dengan Stesen KTM Seremban manakala sebuah lagi berada di Jalan 
    Dato, berhampiran dengan Stesen Bas Terminal 1," ujarnya. 
     
    Menurut Abdul Halim, bangunan yang terletak di Jalan Tuanku Antah itu akan 
    dibina semula untuk dijadikan hotel bajet oleh syarikat pemaju yang asal. 
     
    Syarikat yang berkenaan telah mengemukakan pelan bangunan yang baru untuk 
    kelulusan MPS dan pembinaan dijangka dimulakan dalam tempoh masa terdekat. 
     
    Tambah beliau, struktur bangunan terbengkalai berhampiran Jalan Dato' Bandar 
    Tunggal yang lebih popular dengan gelaran 'kolam air' akan dibina semula 
    oleh syarikat pemaju yang baru. 
     
    "Syarikat berkenaan dalam proses penyediaan pelan bangunan yang baru untuk 
    membina sebuah kompleks perniagaan di atas tapak berkenaan," katanya. 
     
    Selain itu, MPS sedang berusaha untuk memulihkan sebuah lagi struktur 
    bangunan komersial terbengkalai yang terletak di Kemayan Square di sini. 
     
    "Walaupun MPS telah berulangkali menghubungi syarikat pemaju yang berkenaan, 
    tiada tindakan yang diambil oleh mereka. 
     
    "MPS memandang serius isu ini kerana beberapa struktur bangunan terbengkalai 
    ini mencacatkan keindahan bandar Seremban," tegas Abdul Halim.  |