This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Impian miliki rumah musnah

05/02/2008 Utusan Malaysia Oleh A. Jailani Abdullah

 

BERKECAI... Shamsudeen Sahadin menunjukkan lokasi yang sepatutnya menjadi tapak rumah beliau di Seksyen U10, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM 4 Feb. – Enam tahun lalu, Shamsudeen Sahadin memasang impian untuk mendiami sebuah rumah yang cantik di kawasan Seksyen U10 dekat sini dengan dikelilingi oleh pemandangan indah bukit-bukau dan kawasan hijau.

Kini, enam tahun telah berlalu. Namun rumah impiannya masih tidak kelihatan kelibatnya. Malah pejabat pemaju projek perumahan itu juga telah ditutup dan ditinggalkan.

Sepanjang enam tahun itu, sudah banyak kali Shamsudeen dan isterinya meninjau pejabat pemaju itu di sebuah unit kedai pejabat di Seksyen 13 di sini kalau-kalau ia dibuka semula, namun hampa.

Apa yang ada hanyalah peralatan pejabat yang ditinggalkan dan paling menjengkelkan pasangan itu ialah model rumahnya masih berada di situ dan boleh dilihat dari luar dinding cermin.

Katanya, berdasarkan papan tanda, sebuah syarikat lain yang turut terlibat dalam projek perumahan telah menduduki unit berkenaan tetapi menggunakan peralatan pejabat yang sama dengan syarikat terdahulu.

Beliau tidak menolak kemungkinan syarikat lama itu sudah tidak beroperasi atau bankrap dan kemudian pemaju membuka syarikat yang baru.

Dengan itu, katanya, mereka boleh melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap projek yang terbengkalai itu.

“Tetapi berdasarkan pemerhatian saya, syarikat baru ini juga nampaknya sudah lama tidak beroperasi di sini,” ujar Shamsudeen ketika membawa wartawan Utusan Malaysia meninjau pejabat pemaju itu.

Menurutnya, beliau telah membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus berjumlah RM39,800 pada tahun 2002 seperti yang disyaratkan oleh pemaju itu.

“Ketika itu, wakil pemaju meminta saya membuat pinjaman perumahan daripada panel bank yang dilantik untuk membiayai pembinaan rumah saya itu tetapi saya enggan kerana belum ada apa-apa kerja dilakukan oleh mereka ketika itu.

“Selain itu, saya juga yakin saya mampu membayar sendiri mengikut tahap pembangunan projek,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, pembangunan di Seksyen U10 dan sebuah lagi kawasan berhampiran iaitu U11 pernah menjadi isu yang menggegarkan negara pada tahun 2005 apabila Utusan Malaysia mendedahkan tentang tindakan pihak pemaju di kawasan itu menarah bukit sewenang-wenangnya.

Katanya, dari hasil laporan yang turut mendedahkan tentang sistem ekologi di Taman Pertanian Malaysia yang juga terjejas, kerja-kerja pembangunan di situ telah diarah diberhentikan serta-merta.

Bagaimanapun, Shamsudeen menerima surat bertarikh 20 Mac 2006 daripada pemaju yang menyatakan bahawa kelulusan telah diberikan untuk meneruskan semula kerja-kerja tanah.

“Menurut surat dari pemaju itu, kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja diberikan semula selepas segala masalah teknikal diselesaikan oleh pihak pemaju.

“Isu yang masih belum selesai hanyalah membabitkan sebatang jalan yang dikongsi bersama oleh empat pemaju lain di kawasan itu,” ujar beliau.

Katanya, menurut surat itu, pemaju menjangkakan masalah itu akan dapat diselesaikan pada April 2006 bagi membolehkan permohonan semakan pelan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mendapat kelulusan.

Namun, kata Shamsudeen, tiada sebarang perkembangan lanjut diterima mengenai status projek berkenaan selepas itu dan beliau tertanya-tanya sama ada ia telah dibatalkan atau terbengkalai.

“Selain pergi ke pejabat jualan, saya juga telah cuba beberapa kali menghubungi telefon bimbit seorang pegawai jualan yang berurusan dengan kami dahulu, tetapi gagal.

“Saya sudah tidak sanggup menunggu lagi. Sama ada projek ini diteruskan atau tidak, saya mahu duit saya dikembalikan. Saya mahu cari rumah di kawasan lain,” katanya.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan daripada pegawai jualan yang dimaksudkan oleh Shamsudeen namun telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Shamsudeen berharap dapat mengumpulkan semua pembeli lain yang terlibat dan seterusnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pembeli-pembeli lain supaya menghubunginya di nombor 016-2138786 untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.