This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Paip haram penghuni flet
17/01/2008 Harian Metro Oleh Helmy Abd Rahman

HULU KLANG: “Saya terpaksa bawa anak dan isteri tinggal di pejabat sejak dua bulan lalu,” kata Zaki Ahmad, 42, penghuni Taman Al-Ridzuan yang mendakwa menjadi mangsa pemaju taman itu yang culas membayar bil air hingga menyebabkan bekalan air ke kawasan perumahan itu dipotong.

Menurutnya, penduduk kawasan perumahan itu terpaksa menanggung beban hutang tertunggak bil air menggunakan meter pukal mencecah RM48,000 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

“Dulu taman ini diselenggarakan pemaju yang ‘acuh tak acuh’ membayar bil air penduduk hingga menyebabkan hutang tertunggak mencecah RM133,000. Keadaan jadi bertambah rumit apabila pihak pengurusan terbabit diisytiharkan muflis sejak lima tahun lalu sekali gus menyebabkan persatuan penduduk terpaksa mengambil alih hal pengurusan taman.

“Hutang tertunggak tinggal RM25,000, tapi meningkat hingga mencecah RM48,000 akibat sikap segelintir penduduk yang enggan membayar bil air mereka, selain beberapa kos lain yang terpaksa ditanggung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sebanyak 312 keluarga yang tinggal di empat blok rumah pangsa taman itu terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk memperoleh bekalan air sejak dipotong Syabas, kira-kira dua bulan lalu.

Terdesak dengan keadaan itu, segelintir penduduk mengambil tindakan drastik mencuri bekalan air dari tangki utama Syabas di kawasan terbabit dengan membuat sambungan paip haram sementara sebahagian lagi terpaksa membelinya dari premis dan individu tertentu yang mengambil kesempatan dengan situasi itu.

Aktiviti itu bagaimanapun dapat dikesan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Syabas yang menjalankan operasi bersepadu dipanggil Ops Cegah, semalam bagi menyekat kegiatan itu daripada berterusan.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Pengguna dan Penguatkuasaan Span, Mohd Ashwar Abdul Aziz, berkata objektif operasi itu untuk memotong dan menghentikan sambungan haram dan aktiviti penjualan air secara haram membabitkan premis serta individu tertentu.

“Operasi ini disertai enam pegawai Span dan kira-kira 30 anggota Syabas termasuk polis bantuan dan julung kali diadakan, tahun ini.

“Penduduk sudah diberi notis amaran dan kami terpaksa melaksanakan tindakan penguatkuasaan hari ini (semalam),” katanya.

Ashwar sebelum itu sempat mengadakan dialog dengan wakil penduduk bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam masa terdekat.

“Kami prihatin dengan masalah penduduk dan faham situasi mereka. Melalui hasil perbincangan tadi (semalam), penduduk terbabit akur dan sedar dengan perbuatan segelintir daripada mereka menyalahi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.